Thursday, December 9, 2021

Hanya 200 sertai Bersih 5.0 Sarawak, bertempiaran lari dari hujan

Secara Rawak

KUCHING: Perhimpunan Bersih 5.0 yang diadakan di pinggir laluan ke Panggung Udara, dekat sini pada petang tadi mendapat sambutan dingin daripada rakyat Sarawak.

Bermula sekitar jam empat petang, perhimpunan ini hanya menarik sekitar 180 ke 200 peserta.

img_3573

Mereka terpaksa berhimpun di tepi jalan berhampiran Panggung Udara Kuching setelah gagal mendapat kebenaran pemilik lokasi iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara, kerana panggung tersebut kini dalam proses naik taraf.

Antara yang berucap pada majlis tersebut termasuklah Pengerusi Penganjur Bersih 5.0 Sarawak, Ann Teo, aktivis Awang Ahmad, peguam Murni Hidayah, aktivis Abun Sui, aktivis Philip Jalong dan Adun Batu Lintang See Chee How

Antara pemimpin pembangkang yang hadir pula termasuklah Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Stampin Julian Tan, Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teo, Voon Shiak Ni, Nurhanim Mokhsen dan Abang Zulkifli Abang Engkeh.

Beberapa wakil Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) turut hadir.

Bagaimanapun kehangatan mereka berhimpun hanya sementara apabila sekitar jam 5.30 petang, hujan turun mencurah di sekitar bandar raya Kuching.

Ini menyebabkan para penyokong Bersih 5.0 bertempiaran lari dan berlindung di beberapa kawasan, termasuk di Dewan Suarah Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, suasana perhimpunan adalah terkawal dan bebas daripada sebarang insiden yang tidak diingini.

“Kita mengeluarkan semua elemen hari ini sebenarnya dan pasukan trafik kita mengawal baik keadaan lalu lintas.

“Malah kita juga mengadakan kawalan-kawalan di tempat mereka mengadakan perhimpunan itu,” katanya sambil memaklumkan persediaan itu adalah untuk menghadapi kekuatan sehingga 5,000 peserta, seperti yang dimaklum penganjur.

Menurutnya, sehingga petang tadi, pihaknya hanya menerima satu laporan daripada pihak berkuasa tempatan berhubung penggantungan kain rentang tanpa kebenaran.

Turut hadir memantau keadaan, Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner, Datuk Dev Kumar.

Program Bersih 5.0 di Sarawak dijangka berterusan sehingga jam 12 tengah malam ini. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru