Para ibu, saksikan video ngeri ini! Tindakan ajaib selamatkan bayi jatuh mencecah simen

FLORIDA: Jangan sama sekali ikut tabiat ibu ini, Tila Levi yang akhirnya sangat terkesan dengan tindakannya sendiri meletakkan bayinya 11 bulan di atas meja tinggi selepas menukar lampinnya.

Ketika Tila Levi menoleh ke arah lain untuk menguruskan lima lagi anaknya, bayi tersebut berguling dan perlahan-lahan bergolek di tepi almari meja, hampir terjatuh ke simen setinggi sekitar empat kaki.

Kecekapan abangnya Joseph Levi, 9, yang berdiri tidak jauh dari situ, menjerit ke arah ibunya sambil meluncur cekap berjaya menyambut adiknya di udara, daripada terjatuh dan terhentak mencecah lantai simen.

Tindakan refleks yang luar biasa, dipuji oleh netizen apabila ibunya memuat naik rakaman CCTV itu ke media sosial untuk dijadikan pengajaran kepada ibu yang lain.

Seperti dilaporkan Daily News, menerusi wawancara dengan WSVN-TV, Tila menyalahkan dirinya sendiri atas kejadian tersebut dan menyifatkan Joseph sebagai hero dan tindakannya itu sebagai satu keajaiban.

“Saya bernasib baik kerana dia (Joseph) ada pada ketika yang tepat dan menyambut adiknya pada masa yang betul,” ujar Tila yang berkali-kali merangkul dan mencium Joseph selepas kejadian “mengerikan” itu.

Tila berkata, “saya hanya berkata kepadanya (Joseph), ‘kamu menyelamatkan adik kamu. Kamu menyelamatkan nyawanya. Kamu wira.”

Joseph ketika diwawancarta di televisyen berkata dia percaya akan adanya kuasa ajaib semasa kejadian itu.

“Saya tidak boleh berlari pantas, tapi saya seperti sesuatu yang datang dan menolak saya ke depan,” kata Joseph.

Tila berkata, “Saya percaya kepada Tuhan. Saya percaya dengan keajaiban. Saya hanya tidak pernah melihatnya secara langsung, sehingga kali ini, ia berlaku di hadapan muka saya. ” – Sarawakvoice