Kemenangan Trump kecewakan rakyat Malaysia

Dr Lee Kuok Tiung, UMS
Dr Lee Kuok Tiung, UMS

Kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada Rabu lepas pastinya mengejutkan dan mengecewakan ramai rakyat Malaysia.

Bagaimana seorang calon yang diselubungi dengan begitu banyak kontroversi boleh mengalahkan Hillary Clinton yang begitu sempurna?

Mengapa putih boleh kalah kepada hitam?

Apa sudah jadi dengan sistem demokrasi itu?

Hillary menang undi popular tetapi Trump mengalahkan beliau untuk menjadi presiden AS.

Sudah menjadi norma melihat yang kalah merakamkan tahniah kepada yang menang.

Jikalau di Malaysia sudah pastinya keputusan pilihan raya itu hanyalah salah satu siri drama politik yang tidak pernah berakhir.

Kemenangan Rodrigo Duterte sebagai Presiden Filipina pada Mei tahun ini juga mengejutkan ramai pihak terutamanya melihat kepada penampilan beliau di khalayak ramai.

Kalau di Malaysia Duterte ini ala-ala Bung Mokthar. Tiada ciri-ciri gaya lelaki maskulin jika dilihat pada perwatakan dan penampilannya.

Langkah drastik beliau menangani masalah dadah di Filipina yang dianggap tidak menyanjung Hak Asasi Manusia (HAM) mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.

Cerita pasal hak asasi manusia dan demokrasi ini pasti kita teringat nama Aung San Suu Kyi.

Seorang pejuang pembebasan yang teranaiya selama berdekad-dekad tetapi partinya NLD (National League for Democracy) berjaya memenangi majoriti kerusi parlimen Myanmar pada November 2015.

Begitu pun berapa ramai yang peka dengan nasib masyarakat Rohingya di Myanmar sekarang yang seolah-olah sedang berlaku genocide untuk membunuh semua mereka.

Mesti ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar kerana media tidak memberi liputan kepada mereka.

Kita bernasib baik dalam zaman IT ini banyak YouTube berkenaan nasib mereka boleh diakses daripada Mr. Google tetapi itu pun hanya tertakhluk kepada inisiatif daripada individu perseorangan yang berminat atau perihatin sahaja.   

Tidak ramai rakyat Malaysia yang sedar konflik yang sedang berlaku di Indonesia sekarang.

Mungkin ada dalam kalangan rakyat Malaysia menerima WhatsApp video rumah-rumah Cina dibakar atau terbaca berita perusuh yang menyerang gereja ditangkap tetapi tidak menyedari itu sebenarnya ialah kejadian terbaharu yang berlaku baru-baru ini.

Tahun 1999 belum ada telefon pintar dan media sosial yang popular seperti sekarang. Apakah cerita Ahok Gabenor Jakarta ini?

Ke mana sudah semua cerita berkenaan Presiden Joko Widodo yang pada suatu ketika begitu viral di Malaysia?  

Kita bernasib baik ada teknologi komunikasi seperti telefon pintar yang membolehkan mesej daripada seluruh dunia disebarkan dengan begitu pantas.

Begitu pun tidak ramai sedar akan wujud proses pengampangan dan penapisan kendiri dalam kalangan pemimpin pendapat termasuk media di Malaysia.

Uniknya ramai pihak hanya mulai mengambil inisiatif melihat kempen-kempen Trump selepas beliau menang pilihan raya. Tidak kurang juga yang terkejut melihat Ivanka Trump atau Tiffany yang lebih cute daripada Chelsea Clinton.

Kemenangan Barack Obama, orang kulit hitam pertama sebagai Presiden Amerika Syarikat dan Mah Ying Jeou daripada Parti Kuomintang sebagai Presiden Taiwan pada tahun 2008 telah dijadikan propaganda di Malaysia bahawa perubahan boleh berlaku, tiada yang mustahil, dan ini kalilah rakyat bangkit menghakimi para politikus kita.

Kedua-dua pemimpin berkenaan telah mengundurkan diri daripada arena politik selepas dua penggal memegang jawatan penting berkenaan pada tahun ini kerana sistem mereka menyatakan dengan jelas maksimum dua penggal sahaja.

Apakah nasib rakyat mereka lebih baik pada hari ini? Masing-masing kita boleh nilai sendiri.  – Sarawakvoice