Saturday, May 21, 2022

Jangan mudah taasub individu berimej alim, siasat latar belakang untuk elak ajaran sesat dan militan – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Umat Islam di negeri ini dinasihatkan agar tidak mudah taasub, percaya dan terpedaya akan imej lelaki berserban dan wanita berpurdah yang belum dikenal pasti latar belakangnya.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, tidak semestinya mereka yang berperwatakan demikian merupakan golongan mahir agama, atau pendakwah.

“Hari ini sesiapa pun boleh memakai pakaian sedemikian dan berselindung dengan imej ini, mereka menyebarkan ajaran yang dikhuatiri menyeleweng, malah hingga membabitkan aktiviti ekstremisme,” katanya selepas merasmikan Seminar Penerapan Wasatiyyah Dalam Mendepani Cabaran Aqidah Umat Islam di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini semalam.

Abang Johari mendedahkan, terdapat kumpulan tertentu yang yang bergerak di kawasan pedalaman dan luar bandar negeri ini atas alasan berdakwah, namun tujuan sebenar mereka amat diragui.

“Kita sebenarnya bimbang akan wujudnya cubaan untuk menyebarkan ajaran sesat atau fahaman ekstremisme hingga boleh mempengaruhi orang ramai terbabit dalam kegiatan militan yang mengancam keselamatan negara serta ketenteraman awam,” katanya.

Beliau merujuk dengan kejayaan pasukan Conter Terrosisme Cawangan Khas Bukit Aman yang berjaya menahan seorang lelaki asal Sarawak, yang dipercayai sedang direkrut menjadi anggota militan Daesh di Syria.

Lelaki terbabit pada mulanya dikesan dan dihantar pulang oleh pihak berkuasa Turki, sebelum ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur oleh polis Malaysia.

Sehubungan itu kata Abang Johari, selaku menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di negeri ini beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhubung dengan Majlis Islam Sarawak (MIS) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) sekiranya mengesyaki kehadiran sesebuah kumpulan dakwah mencurigakan di kawasan mereka.

“Ini termasuk kumpulan ajaran sesat seperti Millah Abraham yang diisytihar sebagai ajaran sesat pada 2009.

“Mereka ini menjadikan golongan kurang berpengetahuan asas dalam ajaran Islam sebagai sasaran utama untuk menyebarkan dakyah menyeleweng terutama membabitkan perkara akidah.

“Ajaran ini berjaya dipatahkan pada Mac lalu dan ia perlu diambil pengajaran kerana golongan ini menyebar dakwah mereka dengan berselindung menggunakan pelbagai nama,” katanya.

Millah Abraham diisytihar ajaran sesat kerana menggabungkan ajaran Islam, Kristian dan Yahudi sebagai akidah utama dan tidak mengiktiraf solat lima waktu, menafikan kewajipan berpuasa ketika Ramadan dan mendakwa ada rasul lain selepas Nabi Muhammad S.A.W.

Pada 26 Mac lalu, kumpulan sesat itu berjaya menyusup ke kawasan pedalaman di Simunjan, Samarahan, dan membeli tanah berkeluasan sembilan hektar untuk dijadikan kawasan penternakan ayam, ikan dan kawasan pertanian bagi membiayai kegiatan mereka di negeri ini, namun ia berjaya dikesan dan dipantau Cawangan Khas, Polis Sarawak. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru