Tuesday, June 28, 2022

Hanya jual stiker, pelajar muncul jutawan pada usia 14 tahun

Secara Rawak

BRITAIN: Harvey Millington, 14, remaja yang belajar di sekolah biasa, tetapi sangat genius menjalankan perniagaan yang didaftar atas nama ayahnya, menjual Stiker Peringatan Cukai (Tax Disc Reminder) berharga £4 (RM21) sekeping.

Harvey mendapat idea bernas apabila dia mendapati ayahnya,  Howard Millington, 46, kerap terlupa membayar cukai jalan sejak dua tahun lepas.

Di United Kingdom, penggunaan kertas cukai jalan tidak dipraktiskan lagi bermula 2014 apabila digantikan dengan sistem elektronik.

Hal ini menyebabkan ramai pengguna asyik terlupa akan tarikh luput cukai jalan mereka.

Perniagaan Harvey sangat bagus dan berkembang.

Dia menerima 400 tempahan sehari bagi jualan stikernya itu.

Sehingga tahun lepas, Harvey berjaya menjana pendapatan £100,000 (RM500,000) dengan hanya menjual stiker untuk memperingatkan pemandu kenderaan tentang tarikh luput cukai jalan mereka.

Menggunakan wang simpanan tersebut, Harvey membeli tanah seluas tiga ekar daripada rakan ayahnya berharga £40,000 (RM200,000) dan merancang membuka pejabat untuk memperluas perniagaannya.

Namun, Harvey perlu memikirkan semula rancangannya membuka pejabat di atas tanah tersebut apabila “rezeki datang bergolek”.

Sebuah syarikat pemaju perumahan di United Kingdom menawarkan harga £2 juta (RM10.7 juta) mahu membeli tanah miliknya itu.

Sekelip mata, remaja 14 tahun itu menjadi jutawan termuda di Britain.

“Ia tawaran yang sukar ditolak. Jumlahnya terlalu banyak, lebih-lebih lagi untuk seseorang pada umur saya,” kata Harvey seperti dilaporkan Country Gazette, Rabu lepas.

Sang ayah, Howard menyifatkan anaknya itu sebagai ahli perniagaan yang bagus.

Pada Mei 2015, Agensi pernah menyiarkan kisah kejayaan Harvey dan ayahnya Howard di media.

Ketika itu perniagaan Harvey hanya berusia lapan bulan, tetapi dia dianggap sebagai pelajar paling kaya di kelasnya.

Menurut data, pada satu bulan iaitu Mac sahaja, seramai 6,000 orang terlepas tarikh akhir memperbaharui cukai jalan kereta mereka di United Kingdom.

Setiap kesalahan mereka didenda antara £500 dan £800.

Ia jumlah wang yang besar.

Denda berkenaan jika dapat diselamatkan mampu membayar harga untuk cukai jalan yang baru bagi sebuah kereta.

Justeru, pemandu dan pemilik kereta tidak keberatan membelanjakan £4 jika ia dapat membantu mengelak mereka membayar denda yang besar.

Howard menyokong usaha anaknya yang suka komputer dan meminati sains komputer menjalankan perniagaan dengan margin keuntungan melebihi 50 peratus.

Bayangkan terdapat 22 juta kereta di jalan raya di United Kingdom dan Harvey menerima tempahan hanya 10 peratus daripada jumlah pemilik kenderaan tersebut.

Syarikat Harvey menerima tempahan menggunakan internet.

Mereka mencetak stiker tersebut menurut maklumat yang diberikan pelanggan, dan kemudian menghantarnya kepada pelanggan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru