China, Jepun bersaing sengit dapatkan projek kereta api laju

0
2

TOKYO: Seperti diduga, projek kereta api laju di antara Malaysia dan Singapura ialah topik yang bermain di fikiran setiap pemimpin kerajaan dan sektor swasta di sini semasa pertemuan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan kerja sejak Selasa.

“Shinkansen” atau kereta api laju menjadi pokok perbincangan dalam setiap pertemuan dengan perdana menteri, baik dengan pihak kerajaan mahupun swasta, menunjukkan minat mendalam pihak Jepun terhadap projek besar itu.

Ketika ditanya oleh wartawan Malaysia pengalamannya menaiki kereta api laju di China dan di Jepun, Najib berhati-hati memberi jawapan.

Jelas beliau tidak mahu apa jua ulasan atau pandangannya akan mempengaruhi pembuat keputusan kepada tender projek itu kelak.

“Saya fikir tidak sepatutnya saya menyatakan pandangan saya secara terbuka kerana akan menimbulkan prejudis terhadap hasil keputusan muktamad nanti.

“Biarlah ia menjadi proses yang dijalankan dalam cara paling objektif kerana ia bukan hanya dari segi pengalaman penumpang tetapi ia akan diputuskan berdasarkan keupayaan pembayaran bagi tempoh 25 tahun,” katanya.

“Ditambah pula dengan pakej kewangan yang akan ditawarkan. Jadi terdapat pelbagai elemen lain. Satu daripadanya sudah tentunya adalah keselesaan penumpang,” kata Najib pada akhir lawatan kerja beliau di Jepun.

Pengendali kereta api laju dari China dan Jepun adalah antara yang telah menyatakan minat untuk mengambil bahagian dalam projek kereta api berkelajuan tinggi 350km sejam, menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Najib sedar kunjungannya ke China yang antaranya menaiki keretapi laju Beijing ke Tianjin awal bulan ini mendapat perhatian banyak pihak termasuk di Jepun yang turut berminat membekalkan teknologi Shinkasen untuk projek tersebut.

Katanya proses tender antarabangsa dijangka dibuka pada suku keempat tahun depan dan pihak Jepun turut dipelawa untuk membuat bidaan.

“Malaysia-Singapura telah menyatakan bahawa pemilihan sistem mana yang akan diguna pakai bergantung kepada penilaian yang dibuat secara objektif, telus… melalui satu proses bidaan antarabangsa yang terbuka,” katanya.

Pihak di Jepun yang diketuai Japan Railway Company sering menonjolkan aspek rekodnya yang sukar ditandingi oleh mana-mana pihak termasuk sifar kemalangan dalam sejarah operasinya selama 52 tahun, iaitu sejak Sukan Olimpik Tokyo 1964.

“Mereka juga mempunyai track record dari segi ketepatan masa. Namun oleh kerana komitmen, kita tidak bolehlah mendahului proses bidaan tersebut,” kata Najib.

Dalam masa yang sama, saingan menjadi begitu sengit apabila China juga difahamkan bersedia membuat tawaran menarik pada kos lebih rendah yang sukar ditandingi.

Kesungguhan Jepun adalah ketara dengan wakil-wakil swasta yang bukan terlibat dengan industri kereta api turut menyuarakan sokongan padu kepada tawaran sistem Shinkansen untuk projek tersebut.

“Kesemua mereka bagaikan bersatu hati untuk menjayakan hasrat mereka menawarkan sistem Shinkansen kepada Malaysia,” menurut seorang anggota delegasi Malaysia.

Malaysia dan Singapura dijangka melantik pihak ketiga peringkat antarabangsa untuk membuat penilaian bidaan tersebut bagi memastikan tahap integriti proses tender tersebut.

Bagi Malaysia, adalah penting mengimbangi hubungan dua hala dengan dua negara kuasa besar di Asia itu yang juga merupakan rakan dagang utama.

“Memperkukuhkan hubungan dengan negara lain tidak bermakna meminggirkan negara lain. Menang atau kalah adalah adat permainan.

“Malaysia menjalin hubungan yang akrab dengan China tetapi ia tidak menghalang kita daripada menjalin hubungan dengan Jepun, mahupun dengan Amerika Syarikat,” kata Najib.

Projek kereta api laju adalah sebahagian daripada pelan transformasi Malaysia untuk memaju negara ke arah status negara maju.

Kriteria pemilihan adalah pelbagai. Selain aspek keselamatan, kos keseluruhan juga merupakan faktor utama.

“Sistem kereta api berkelajuan tinggi yang selamat dan menyediakan nilai maksimum adalah amat penting. Penjimatan dalam pembinaannya bukan bermakna mempertaruhkan tempoh kitaran hayatnya,” menurut seorang pegawai kanan pengangkutan awam baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Malaysia dan Jepun sedang membuat persiapan bersama untuk mengatur program-program bagi sambutan ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Shinkansen pastinya turut membuat penampilan.