Thursday, December 8, 2022

UPSR: 143 sekolah di Sarawak lulus seratus-peratus

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 143 sekolah di negeri ini mencapai keputusan lulus seratus peratus dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah di negeri ini pada tahun ini.

Pengarah Pendidikan Negeri, Rakayah Madon berkata, daripada jumlah tersebut, 127 merupakan Sekolah Kebangsaan manakala 16 lagi Sekolah Jenis Kebangsaan.

“Sebanyak 41 sekolah mencapai keputusan 90 peratus ke atas manakala 145 sekolah lagi mencapai 80 peratus ke atas,” katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan UPSR di sini sebentar tadi.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti yang bertanggungjawab terhadap pendidikan, Datuk Fatimah Abdullah, yang menyampaikan sijil dan slip kepada semua murid yang berjaya.

Kata Rakayah lagi, hanya seramai 164 murid atau 0.53 peratus daripada keseluruhan 31,049 calon Sekolah Kebangsaan di negeri ini memperoleh keputusan 6A.

“Manakala 120 murid atau 1.16 peratus daripada 10,331 calon Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan mendapat keputusan cemerlang 8A,” jelasnya lagi.

Pada masa yang sama katanya, sembilan buah sekolah luar bandar dan pedalaman memperoleh pencapaian cemerlang termasuk Sekolah Pendidikan Khas (B) Batu Lintang.

“Ia kejayaan yang agak menarik memandangkan UPSR pada tahun ini mengguna pakai format baharu,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru