Sunday, September 25, 2022

Sikap pelampau bahasa gagal martabatkan BM jadi bahasa global

Secara Rawak

KUCHING: Sikap pelampau bahasa, pengaruh media sosial serta gagal menguasai bahasa asing dikenal pasti sebagai antara faktor penghalang menjulang dan memartabat bahasa Melayu menjadi bahasa global.

Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata pejuang bahasa perlu realistik berdepan dengan isu memartabatkan bahasa Melayu ini.

Bercakap dalam Syarahan Perdana (Wacana Fikrah Umah) “Bahasa Kebangsaan Dalam Sistem Perundangan dan Kehakiman Negara”, Armadajaya berkata pejuang bahasa perlu menerima hakikat bahawa Malaysia tidak wujud dalam satu ruang vakum, sebaliknya wujud dalam dunia realiti.

Oleh itu, menurut beliau mungkin bahasa Melayu tidak dipinggir oleh bahasa lain sebaliknya ia terpinggir sendiri oleh sikap pelampau bahasa ini.

“Generasi muda hari ini juga tidak mampu menguasai bahasa kebangsaan,” kata Armadajaya dalam program sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2016 di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sarawak (DBPCS) pada Rabu.

Beliau yang juga Ketua Unit Rayuan, Bahagian Rayuan dan Perbicaraan Jabatan Peguam Negara di Putrajaya, berpendapat pengaruh media sosial turut menyumbang kepada penggunaan bahasa Melayu yang lemah termasuk dari segi kesalahan tatabahasa, ejaan dan estetika penggunaan bahasa Melayu.

Armadajaya menyampaikan syarahanya dalam program anjuran bersama DBPCS, Bahagian Majalah DBP Kuala Lumpur, Pustaka Negeri Sarawak dan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS).

Dalam syarahan yang mendedahkan fungsi bahasa Melayu dalam sistem perundangan di Malaysia, Armadajaya turut mendapati faktor kegagalan generasi muda menguasai bahasa asing khususnya bahasa Inggeris menjadi cabaran bagi bahasa Melayu bersifat lebih dinamis.

Menurut Awang Armadajaya, melalui Perkara 152 yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara.

Sementara, tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan bahasa (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar bahasa lain.

Manakala, melalui peruntukan itu Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dibenar memelihara dan meneruskan penggunaan serta pengajian bahasa kaum lain dalam Persekutuan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru