Sunday, September 25, 2022

Polis tahan pasangan culik bayi di Hospital Tanah Merah

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes penculikan seorang bayi perempuan berusia lima hari dari Hospital Tanah Merah, Kelantan malam tadi.

Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku di mana-mana hospital dan pihaknya memandang insiden itu sebagai sangat serius.

“Kita ada prosedur dan sistem keselamatan untuk bawa keluar bayi yang sesiapa pun tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kebenaran untuk bayi dibawa keluar.

“Ia bagi memastikan keselamatan bayi di wad terjamin,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Minggu Kesedaran Antibiotik Kebangsaan 2016 di Hospital Putrajaya hari ini.

Bapa kepada bayi itu, Mohd Ihtisyamuddin Mohd Ashri, 29, menyedari mengenai kehilangan bayinya pada pukul 9 malam selepas beliau datang ke hospital untuk melihat anak keduanya itu yang lahir pada Khamis lalu.

Susulan itu,  polis telah menahan sepasang suami isteri tengah malam semalam di sebuah rumah di Selising, Pasir Puteh  kira-kira sejam selepas menerima laporan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, suspek lelaki berusia 26 tahun dan wanita berusia 23 tahun itu ditahan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Alor Hijau, Bukit Tanah, dekat Selising, Pasir Puteh kira-kira jam 11.30 malam.

“Hasil siasatan awal, kita dapat kesan alamat rumah ini melalui nombor MyKad suspek lelaki yang ditulis pada buku rekod keluar masuk wad kanak-kanak itu ketika bawa keluar bayi terbabit,” katanya.

Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru