Tuesday, June 28, 2022

OIC kutuk kezaliman tentera Myanmar bunuh Rohingya, bakar rumah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras kerakusan tentera Myanmar mengganyang masyarakat Rohingya di perkampungan Rakhine di utara Myanmar.

Duta Khas OIC bagi Myanmar Tan Sri Dr Syed Hamid Syed Albar dalam kenyataan pada Selasa, menyeru agar tindakan antarabangsa segera diambil bagi menamatkan perbuatan zalim dan kejam itu.

Beliau meminta Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Asean mengambil langkah wajar yang termaktub dalam peruntukan Piagam PBB melindungi dan menghormati hak semua manusia.

Menurut laporan media, tentera Myanmar melancarkan serangan dengan helikopter terhadap perkampungan Rohingya itu pada Sabtu, mengakibatkan lapan maut, termasuk dua tentera.

Laporan itu juga menyebut, tentera turut menembak mati sekurang-kurangnya 25 orang awam di kampung berkenaan pada Ahad.

Syed Hamid menyifatkan kerakusan tentera sebagai mencabul hak asasi manusia sewenang-wenangnya.

Bagi Syed Hamid ia merupakan penghinaan yang tidak dapat diterima terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia jelas satu tindakan penghapusan etnik secara sistematis yang zalim dan ganas.

“Penggunaan kuasa dengan cara tidak sewajarnya terhadap masyarakat termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua, tidak langsung mempunyai justifikasi dan tidak boleh diterima sama sekali atas apa alasan sekali pun,” tambah Syed Hamid dalam kenyataannya kepada Bernama.

Beliau kesal kerana masyarakat antarabangsa masih membisu ketika kaum Rohingya teraniaya.

Bekas Menteri Luar Malaysia itu berkata, “(ini) bermakna kita gagal menunaikan tugas kita menjunjung prinsip keadilan dan tanggungjawab memberi perlindungan bagi memelihara keamanan dan keselamatan global.” – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru