Tuesday, October 4, 2022

Kesalahan OSA, Rafizi tidak harus kelirukan rakyat

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli tidak seharusnya mengelirukan rakyat tentang sabitan kes beliau di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang menyebabkan beliau bakal dipenjarakan selama 18 bulan.

Pengamal undang-undang, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz melalui catatan Facebooknya berkata, Rafizi sebenarnya disabitkan bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana memiliki satu muka surat dokumen yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia di bawah Akta berkenaan.

“Yang menyebabkan Rafizi ditahan adalah kerana mendedahkan muka surat 98 laporan tersebut untuk bacaan orang ramai,” katanya.

Katanya, itulah sebabnya Ahli parlimen Pandan  itu didapati bersalah, bukan kerana mendedahkan rahsia 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, beliau memiliki dokumen rahsia yang beliau tidak memiliki autoriti untuk memilikinya.

Isnin lalu, Mahkamah Sesyen mendapati beliau bersalah memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Mac lepas.

Rafizi menghadapi dua pertuduhan iaitu didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Mohd Rafizi, 39, yang juga Setiausaha Agung PKR turut menghadapi pertuduhan kedua, iaitu didakwa mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.     

Menurut  Mohd Khairul, salah seorang anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) iaitu Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara,Tony Pua turut mendedahkan wujudnya salah laku terhadap 1MDB namun tidak mendedahkan laporan tersebut secara fizikal.

“Dokumen rahsia itu hanya di dedahkan dalam mesyuarat PAC yg turut dianggotai lima wakil pembangkang termasuk Tony Pua.

“Sekiranya Tony melakukan perkara sama seperti Rafizi, beliau juga berkemungkinan akan ditahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972,” tambahnya.

Sementara itu, beliau membidas segelintir rakyat yang dilihat selektif berhubung tuduhan atau kes yang membabitkan ahli politik BN.

“Jika ahli politik pembangkang membuat tuduhan terhadap ahli politik BN dalam apa-apa isu, rakyat akan bulat-bulat percaya.

“Tapi bila ahli politik BN buat perkara yang sama, rakyat akan minta pelbagai bukti untuk mengukuhkan tuduhan tersebut,” katanya lagi.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan ke Mahkamah Tinggi, dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

Di bawah Akta Rahsia Rasmi, “rahsia rasmi” merangkumi kategori dokumen seperti dokumen Kabinet Persekutuan, dokumen Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dokumen mengenai keselamatan negara, pertahanan dan perhubungan antarabangsa.

Larangan mendedahkan dokumen berkenaan dikenakan terhadap semua rakyat, bukan rakyat, pegawai dalam perkhidmatan awam, mereka yang dipertanggungjawabkan dengan maklumat, kontraktor kerajaan sekarang atau lepas, bekas kakitangan kerajaan, semua pengarah syarikat dan badan korporat, dan setiap anggota perkongsian atau firma yang berurusan dengan kerajaan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru