Friday, August 19, 2022

Wujudkan suasana ekonomi yang kondusif

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM)  menyarankan agar pihak Menteri Kewangan yang bertanggungjawab terhadap Dasar Fiskal supaya mengambil langkah-langkah proaktif bagi mewujudkan suasana ekonomi yang kondusif kepada rakyat khususnya dalam aspek percukaian dan subsidi, sebagaimana yang sering dibangkitkan dalam sesi perbahasan Bajet 2017 di parlimen.

Menurut Pengarah Strategi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Syahir Sulaiman,  saranan DPPM itu adalah bertepatan dengan prinsip kebebasan dasar monetari di bawah autoriti Bank Negara Malaysia (BNM), yang perlu diberikan sepenuh kepercayaan bagi mengurus pasaran kewangan dalam negara, antaranya dengan mengawal selia aktiviti perbankan, pengeluaran wang, penetapan kadar polisi, dan rizab matawang asing.

Saranan itu adalah di sebalik  kebimbangan awam berkaitan kejatuhan nilai ringgit dalam situasi terbaru ketidaktentuan pasaran global, khususnya pascakeputusan pilihan raya di Amerika Syarikat.

Pada 13 November, BNM telah mengambil langkah proaktif dengan mengingatkan semua pihak supaya mematuhi peraturan Pentadbiran Pertukaran Asing sedia ada dan menghindari daripada terlibat dalam urus niaga yang boleh dikaitkan dengan aktiviti spekulatif di pasaran luar pesisir.

Tindakan ini turut disokong oleh Ketua Pemuda Pas pada 14 November, dengan memberi kredit terhadap ketelusan dan profesionalisma pasukan BNM, di samping menyeru agar rakyat dan pelabur meletakkan keyakinan terhadap tindakan BNM dan mengelakkan sebarang spekulasi yang tidak berasas.

Selain itu, katanya, DPPM berpendapat inilah masa yang sangat sesuai agar BNM mengkaji dan mengemukakan kerangka Dasar Monetari Islam yang lebih komprehensif.

“DPPM berharap institusi penyelidikan kewangan Islam di bawah naungan BNM  dapat merealisasikan pendekatan Dasar Monetari Islam secara praktikal, khususnya dalam aspek memobilisasi simpanan, menghapuskan riba’, pembiayaan ekuiti, dan matawang bersandarkan emas, agar ianya dapat direalisasikan dalam konteks ekonomi semasa yang memerlukan dimensi baru penyelesaian,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru