Friday, August 19, 2022

Polis akan panggil Jamal, tiada pilih kasih – IGP

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil Ketua Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos bagi dirakamkan percakapan berhubung kenyataan “Darah dibayar darah”, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurutnya, kenyataan Ketua UMNO Sungai Besar itu yang dirakamkan dan disebarkan oleh netizen selepas insiden tumbuk di Ampang Point boleh dilihat berbaur hasutan.

“Kita akan menyiasat perkara ini tanpa sebarang pilih kasih atau takut. Kita akan memanggil beliau untuk disoal siasat,” katanya, seperti yang dipetik daripada The Star.

Jamal ditumbuk hingga berdarah hidung pada Ahad lalu selepas berlaku pergelutan di antara kumpulannya dengan pihak polis.

Dalam kenyataan dalam video, kemudian diulangi dengan muat naik status dalam facebook, Jamal kemudian menulis “Darah pasti diganti dengan DARAH”, beberapa jam selepas itu.

Ketika kejadian di Ampang Point itu, Jamal pada mulanya menuduh polis menumbuk muka beliau, sebelum beberapa ketika kemudian mendakwa dia ditumbuk oleh anak-anak buah Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Ampang.

Satu rakaman juga tersebar semalam mengenai perlakuan Jamal yang melakukan provokasi terhadap pengikut Bersih 5, sehingga dengan angkuh menolak lelaki yang tidak melayan tegurannya.

Jamal dilihat menolak lelaki terbabit sebelum pergelutan berlaku di antara kumpulannya dan pihak polis.

Semalam, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan Malaysia itu sekali lagi membuat provokasi kepada penyokong Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin sejurus memberi keterangan di Balai Polis Ampang Jaya, hari ini.

Provokasi itu bermula apabila Jamal cuba menghulurkan duit sebanyak RM100 kepada penyokong Zuraida.

Tindakan Jamal itu mengundang rasa tidak puas hati para penyokong Zuraida yang hadir di situ.

Jamal merupakan antara individu yang tidak dibenarkan memasuki Sarawak kerana tindak-tanduknya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru