Monday, November 28, 2022

Jamal Baju merah boleh cetuskan huru-hara

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sosialis Muda DAP (DAPSY) menggesa pihak polis menyiasat tuduhan ketua Baju Merah, Datuk Jamal Yunos terhadap Bersih ekoran insiden kekasaran ketika bergelut dengan pihak berkuasa Sabtu lepas.

Kebelakangan ini, Jamal dilihat semakin agresif dan berani, dengan sanggup mengejar dan bersemuka dengan kumpulan Bersih yang menggunakan Baju Kuning.

Ketua DAPSY Perak, Howard Lee dalam satu kenyataan berkata, tuduhan Jamal itu adalah satu fitnah dan pembohongan.

Beliau menyifatkan Jamal dan pengikutnya mengamalkan politik kotor yang bertujuan untuk menghasut masyarakat dengan memberikan tanggapan negatif terhadap Bersih.

“Dalam rakaman video yang diulang tayang secara perlahan, beliau (Jamal) secara jelas telah dikasari oleh seorang lelaki yang berbaju seragam PDRM,” katanya.

Ketua Bahagian Umno Sungai Besar  pada awalnya mendakwa anggota polis yang menumbuk hidungnya sehingga berdarah, tetapi menukar kenyataan itu kemudiannya, dengan menghalakan sasarannya kepada penyokong pemimpin wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula.

“Tuduhan beliau yang menyalahkan seorang peserta berbaju kuning adalah nyata suatu penipuan yang berniat mencabar kredibiliti pihak penganjur perhimpunan (Bersih),” kata Howard.

Insiden berkenaan terjadi selepas penyokong Jamal mengganggu promosi Bersih 5 yang diketuai pemimpin wanita PKR bersama-sama penyokong Bersih di sebuah pusat beli-belah dekat Ampang.

Pemimpin wanita PKR itu menafikan dakwaan  Jamal dan meminta beliau memohon maaf dalam tempoh 48 jam dari atau berdepan tindakan undang-undang.

Mengulas lanjut, Howard yang yang juga Adun Pasir Pinji berkata, publisiti murahan yang ingin diraih Jamal melalui aksi itu jelas berniat untuk melaga-lagakan rakyat Malaysia dan bertujuan untuk mewujudkan kacau-bilau.

Katanya, pembohongan seperti ini tidak boleh diterima langsung kerana beliau cuba untuk memanipulasi fakta yang kita sedar tidak boleh dinafikan.

Beliau mengecam tindakan Jamal yang membuat laporan polis palsu terhadap individu yang tidak diketahui wujud.

Pihak polis menyatakan tindakan boleh diambil terhadap Jamal atas laporan palsu itu. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru