Iklim politik negara semakin panas

Pada 10 -11 November 2016 UMNO Johor telah melangsungkan konvensyen tahunannya di Johor Bahru. Acara ini diadakan bersempena sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO pada hujung November ini. Pada hemat saya, banyak inti pati yang boleh diambil daripada konvensyen tersebut.

UMNO, parti yang mewakili orang Melayu harus berubah. Semua orang perlu merubah sikap ke arah gagasan bangsa maju. Tidak terkecuali para pemimpinnya di pelbagai peringkat.

Sebagai sebuah organisasi siasah yang menempuh era perjuangan kemerdekaan, UMNO perlu meneruskan kelangsungannya untuk mendepani cabaran zaman. UMNO tidak boleh bergantung kepada nostalgia sejarah rekod perjuangan masa lalu.

Para pemimpinnya mesti mempunyai wawasan untuk memajukan bangsa dan negara. Hal ini pernah diungkapkan oleh Almarhum Tengku Abdul Rahman Putra, “setelah selesai mencapai kemerdekaan, perkara yang lebih penting sekarang ialah kita harus berusaha dengan sebaiknya untuk memenuhi agenda kemerdekaan demi rakyat”.

Tambahan pula, negara kita telah mengorak langkah bermula dari sebuah negara pertanian, kini telah berubah menjadi negara perindustrian. Kepimpinan lalu telah menyediakan asas yang kukuh bagi menjayakan pembangunan bangsa dan negara. Pembentukan rancangan pembangunan Malaysia dan gagasan Wawasan 2020 dilakar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang kini berbaki 4 tahun lagi.

Sebenarnya kita tidak punya banyak masa. Kita tidak perlu membuang masa dalam perkara yang remeh, apatah lagi asyik bermain politik (politicking) sepanjang masa. Lihatlah betapa kita membuang masa, tenaga dan wang akibat sengketa ‘baju merah’ dengan ‘baju kuning’.

Lihatlah Donald Trump, selepas namanya diumumkan sebagai pemenang dalam Pilihan Raya Presiden AS, beliau menyeru agar seluruh rakyatnya bersatu. Katanya, beliau adalah Presiden bagi seluruh rakyat AS. Manakala calon Demokrat Hillary Clinton pula menerima keputusan rakyat.

Inilah yang didambakan oleh rakyat Malaysia yang mahukan sistem dan amalan demokrasi yang matang dan profesional. Natijahnya, kita ingin mengingatkan para pemimpin bahawa falsafah dan amalan sistem demokrasi mendaulatkan kuasa rakyat.

Dalam konteks Malaysia, suhu iklim kini semakin panas. Hal ini berbangkit selepas pembentangan bajet oleh YAB Perdana Menteri. Banyak pihak memberi pandangan positif, dan tidak kurang pula yang mengkritik bajet tersebut. Itulah uniknya sistem demokrasi.

Pembentangan bajet diselubungi dalam suasana pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan, sumber pendapatan negara yang tidak kukuh, nilai mata wang yang rendah berbanding nilai US Dollar, harga minyak dunia yang tidak menentu dan pelbagai faktor lagi yang menyumbang kepada keadaan ekonomi Malaysia.

Bagi rakyat marhaen, mereka bukan peduli sangat tentang pembinaan laluan aliran transit ringan, jalan keretapi Pantai Timur yang mahal, bangunan pencakar langit dan sebagainya. Mereka tidak kisah dengan bangunan tertinggi di dunia atau apa sahaja yang hendak dimasukkan dalam buku rekod dunia.

Apa yang rakyat mahukan ialah kesejahteraan hidup dan kemampuan mereka untuk memenuhi keperluan hidup seharian. Fikiran mereka survival kehidupan. Adakah pemimpin kita sanggup melihat rakyat kita umpama “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, sama sepertimana yang pernah berlaku dalam zaman penjajah.

Kenaikan harga minyak masak merupakan suatu isu yang besar bagi rakyat. Hal ini penting kerana ia mempunyai kaitan dengan kenaikan harga barang makanan yang lain. Rakyat perlukan minyak masak untuk keperluan memasak harian. Begitu juga dengan penjual dan penjaja makanan. Secara tidak langsung, ia menyumbang kepada peningkatan kos hidup rakyat.

Rumusannya, rakyat dan pemimpin perlu sama-sama merubah sikap dan berkorban demi kelangsungan negara. Rakyat dan pemimpin perlu berganding bahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang disegani di peringkat global. – Sarawakvoice