Valentino Rossi minta maaf setelah sepak peminat wanita di padok

VALENCIA: Bintang balapan Movistar Yamaha, Valentino Rossi, meminta maaf selepas berlaku peristiwa dia menyepak peminat wanita di kawasan padok di Litar Valencia di Sepanyol, selesai dia menjalani balapan.

Rossi mengaku terpaksa melakukan aksi itu kerana terasa sukar melewati jalan tersebut dalam perjalanan menuju garaj.

Selepas menghabiskan balapan di GP Valencia, video yang dimuat naik peminat dan tersebar di media sosial menunjukkan Rossi menyepak peminat yang sedang berselfie ke arahnya dari atas motosikal ditunggangnya.

Tindakan Rossi yang dianggap kasar itu dikritik hebat banyak pihak.

Namun Rossi berhelah berkaitan tindakannya itu, “Saya lihat, video itu hanya menunjukkan bahagian terakhir peristiwa yang sebenarnya terjadi,” lapor GP One.

Rossi menambah, “Bagaimanapun, saya minta maaf pada wanita tersebut. Saya berharap ia tidak apa-apa, keadaan di padok memang sukar.”

“Setiap kali saya perlu ke garaj, peminat melompat di depan motosikal saya untuk mengambil foto atau cuba mengambil topi.

“Dalam beberapa balapan terakhir, saya sudah pernah menyatakan hal ini.”

Menurut Rossi, wanita yang disepaknya itu cuba berselfie dengan dia sebagai latar belakangnya, dan tindakan peminat wanita itu sedikit menggusarkan keselamatannya sehingga dia terpaksa mengambil tindakan tersebut.

“Sekali lagi, saya meminta maaf padanya. Bukan hanya di Valencia, tapi juga di tempat lain dengan banyak orang di padok.”

“Sememangnya peminat merupakan hal penting bagi MotoGP, tapi lebih bagus jika kami dapat pindah dari satu kawasan padok ke kawasan lain tanpa masalah.”

GP Valencia merupakan siri terakhir musim ini.

Rossi menyelesaikan balapan pada Ahad dalam siri terakhir GP Valencia musim ini dengan gagal memintas Andrea (Ducati). – Sarawakvoice