KOTA SAMARAHAN: Mantan Timbalan Ketua Menteri, yang juga Pro Canselor UNIMAS, Tan Sri Alfred Jabu Numpang semalam telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Tranfsormasi Komuniti Luar Bandar sempena
Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-20.
Disempurnakan oleh Canselor UNIMAS, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, Jabu dipilih atas sumbangannya kepada komuniti luar bandar di negeri ini sepanjang berkhidmat sebagai anggota kabinet negeri.
Ini termasuk memulakan inisiatif kerjasama dengan pakar dari luar negara dalam misi pembiakan baka ikan seperti terubok, ikan empurau, ikan semah, ikan tengadak, ikan lampan, ikan tilapia, ikan sayan dan ikan jelawat yang mendapat permintaan yang tinggi di pasaran global.
Jabu turut memperkenalkan program tanaman kontan untuk memastikan masyarakat luar bandar mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.
Program ini telah membantu meningkatkan taraf hidup nelayan di sekitar Ulu Sungai Saribas seperti Kampung Mangut, Kampung Buda, Kampung Sape, Kampung Angkares dan Kampung Serembeng.
Beliau juga bertanggungjawab menyediakan kemudahan pemunggahan ikan buntal bagi nelayan di di Kampung Mangut, Spaoh dan Betong serta memperkenalkan Pesta Ikan Buntal yang telah dijadikan aktiviti tahunan untuk menarik minat pelancong mengunjungi pekan-pekan kecil di Sarawak
Majlis konvokesyen ini berlangsung dalam empat sidang bermula 14 hingga 17 November 2016 di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA) UNIMAS.
Pada sidang pertama semalam, turut diadakan penyampaian Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor dan Anugerah Pro Canselor kepada graduan terpilih menerusi kecemerlangan mereka dalam akademik dan ko kurikulum sepanjang pengajian di universiti tersebut.
Anugerah Pelajaran DiRaja atau Pingat Jaya Cemerlang diterima oleh penuntut Program Kaunseling, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Nurul Fatihah Amir.
Penuntut Program Perakaunan, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Hee Han Li pula memenangi Anugerah Pelajaran DiRaja atau Pingat Jaya Cemerlang manakala Siti Aishah Zulkafly daripada Program Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan memenangi Anugerah Canselor
Anugerah Pro Canselor dimenangi Kuhanraj Balan, penuntut Program Perkomputeran Multimeda, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat.
Tun Abdul Taib juga menyampaikan ijazah kepada 404 graduan daripada Pusat Pengajian Siswazah dan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (675 orang).
Majlis konvokesyen kali ini mencatat sejarah baharu dengan peningkatan jumlah graduan yang menerima ijazah merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda seramai 4,275 orang berbanding 3,919 pada tahun lalu.
Tahun ini juga mencatatkan peningkatan graduan Doktor Falsafah iaitu seramai 67 orang berbanding 51 orang pada tahun 2015.
Daripada keseluruhan jumlah tersebut, 67 orang adalah graduan doktor falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (337 orang) dan Ijazah Sarjana Muda (3,871 orang). – Sarawakvoice