KUCHING: Menghadapi iklim ekonomi global yang kian mencabar, para siswazah dinasihatkan lebih cekal menghadapi persaingan, selain tidak individualistik dan materialistik menempuhi alam baharu dunia pekerjaan.

“Para siswazah harus sedar mereka memikul tanggungjawab yang lebih besar,” kata Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berucap pada pengisytiharan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) ke-20.

konvokesyen-unimas-201602

Berucap pada majlis di DeTar Putra, Unimas, Kota Samarahan pada Isnin, Tun Taib turut mengalu-alukan graduan Unimas menyumbang kepada Alumni Unimas, melibatkan sumbangan kewangan serta bantuan dalam bentuk lain.

Sumbangan berkenaan bermanfaat menyokong program sarjana, aktiviti pembelajaran dan sebagainya.

Menurut Tun Taib, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius kepada aspek pembangunan pendidikan di Sarawak dengan mewujudkan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Malah, kerajaan membenarkan beberapa universiti terkemuka luar negara membuka cawangan di negeri ini.

Tun Taib berkata, kerajaan sedia membuka lebih banyak universiti di seluruh Sarawak bagi memudahkan ibu bapa menghantar anak mereka ke universiti yang sebelum ini sukar dicapai. – Sarawakvoice

konvokesyen-unimas-201601