Wednesday, December 7, 2022

Polis Sarawak lakukan 12 serbuan dan berjaya berkas 22 tahi judi minggu lalu – Dev

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak terus berjaya mengekang aktiviti perjudian di seluruh negeri ini sepanjang minggu lalu dengan melakukan serbuan serta menangkap tahi-tahi judi.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, sebanyak 12 serbuan telah dilakukan baik oleh Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Negeri mahupun Daerah, sepanjang 7 hingga 13 November lalu.

“CID di ibu pejabat kontijen negeri telah melaksanakan dua serbuan, IPD Miri 3 serbuan, IPD Kuching 2 serbuan manakala IPD Sibu, Padawan, Bintulu, Limbang dan Sarikei masing-masing satu serbuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hasil 12 serbuan itu katanya, sebanyak 22 individu telah berjaya dicekup kerana terlibat dalam mempromosikan loteri awam tanpa lesen, menjalankan operasi judi siber dan sabung ayam.

“Kita juga merampas sejumlah RM4,716 wang tunai dari lokasi perjudian.

Dev berkata, sembilan serbuan tersebut berkaitan dengan loteri haram, dua serbuan tentang judi siber manakala satu kes sabung ayam.

Mereka yang ditahan pula kebanyakannya berusia di antara 17 ke 45 tahun, termasuk empat wanita dan enam warganegara asing.

Daripada sembilan serbuan terhadap premis jualan loteri haram, 10 individu berjaya ditahan dan barangan seperti mesin pencetak, telefon bimbit, lejar pertaruhan , slip dan beberapa alat lain dirampas, selain wang tunai RM3,905.

Serbuan terhadap premis judi siber di Padawan dan Bintulu pula menyebabkan tujuh individu ditahan manakala 10 unit komputer disita selain mesin judi ikan.

Serbuan terhadap tapak sabung ayam di Sibu pula turut menahan lima tahi judi, katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru