Friday, August 19, 2022

Mayat pelajar madrasah lemas di Pantai Damai Santubong ditemui, 22 jam selepas hilang

Secara Rawak

KUCHING: Pelajar madrasah yang terjatuh ke laut di Pantai Damai, Santubong semalam dijumpai mati lemas pagi ini.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, mangsa, Aslam Husaini berusia 19 tahun ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi dia terjatuh oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang mrnggunakan kayak sekitar jam 8.20 pagi.

“Mayat mangsa kemudian dinaikkan ke darat menggunakan bot penyelamat bomba sebelum dikejarkan ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak menggunakan ambulans EMRS untuk proses bedah siasat.

Farhan menjelaskan, mangsa dipercayai mati lemas kerana dibawa arus, dan keadaannya fizikalnya semasa ditemui sempurna.

Mangsa yang merupakan pelajar Madrasah Darul Ulung Al-Fatah, Jalan Depo, Semariang dekat sini sebelum itu bersama-sama 45 pelajar lain dan tiga guru sedang menjalani program rekreasi dan riadah anjuran madrasahnya di Damai Puri Resort & Spa.

Bagaimanapun sekitar jam 10 pagi semalam, mangsa dan dua lagi rakan terpisah dari kelompok besar, dan bermain di tebingan bongkah batu, sebelum terjatuh ke dalam laut.

Dua rakan mangsa yang berusia 15 dan 17 tahun bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing, manakala Aslam terus hilang dibawa arus.

Bomba kemudian mengaktifkan pasukan SARnya bersama-sama pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam, termasuk meletakkan Pasukan Penyelamat Dalam Air dalam keadaan bersedia.

Namun sehingga petang semalam mangsa gagal ditemui, sehinggalah ke pagi tadi.

Ini merupakan kejadian lemas ketiga berlaku di kawasan Santubong dalam tempoh dua tahun ini, dengan satu daripadanya dikaitkan dengan serangan buaya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru