Tuesday, June 28, 2022

Kerajaan negeri raikan 83 pasangan pengantin serentak

Secara Rawak

JITRA: Sebanyak 83 pasangan pengantin malam tadi diraikan dalam Majlis Resepsi Walimatulurus Perdana Peringkat Negeri Kedah yang julung kali diadakan di negeri ini. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata majlis itu merupakan kesinambungan inisiatif Program Barakah Anak Muda iaitu kursus praperkahwinan secara percuma yang diadakan di seluruh negeri.

“Kursus ini adalah sebahagian daripada aku janji dan dianjurkan kerajaan negeri bersama Jabatan Agama Islam Negeri dan inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban anak-anak muda.

“Kerajaan negeri amat prihatin atas permasalahan anak-anak muda dalam soal perkahwinan,” katanya ketika berucap pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Sementara itu, Rohani berkata majlis itu diadakan bertepatan dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan pengukuhan keluarga melalui institusi perkahwinan selain bulan November juga merupakan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia.

“Institusi keluarga adalah komponen sosial yang amat penting dalam masyarakat Malaysia. Ia adalah asas kepada pembangunan insan yang bahagia ke arah membina sebuah negara yang maju, bermaruah dan dihormati,” katanya.

Apa yang menarik, daripada 83 pasangan pengantin itu, dua daripada mereka adalah berbangsa India dan satu pasangan berbangsa Siam.

Bagi Tiew Saw Shian Hai, 41, dan isterinya Mani Chai, 33, kedua-duanya berbangsa Siam, mereka merasakan sangat beruntung dapat menyertai majlis yang sangat besar ertinya kepada mereka.

Katanya, mereka mendapat tahu mengenai program itu daripada rakan dan memohon untuk menyertai majlis berkenaan setelah mencapai kata putus untuk berumah tangga. “Hanya RM500 kami dapat menyertai majlis yang sangat gemilang ini,” kata Mani seorang suri rumah dan suaminya yang juga seorang buruh.

Thanakumar Subbiah, 40, dan isterinya Navavebhiam Linggam, 33, mengharapkan majlis berkenaan dapat diadakan beberapa kali setahun kerana selain dapat membantu meringankan beban kewangan golongan muda, ia juga dapat memupuk perpaduan kaum.

“Saya gembira atas keprihatinan kerajaan dan kami dapat abadikan dalam majlis perkahwinan untuk seumur hidup,” katanya. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru