KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diberi sambutan yang hebat dan penuh penghormatan di China dalam kunjungan rasminya ke negara kuasa besar ekonomi itu.

Datuk Seri Najib Razak memberi penjelasan sedemikian di sebalik kritikan dan dakwaan liar pemimpin pembangkang bahawa beliau menggadaikan kedaulatan negara. Hakikatnya, beliau berjaya memetraikan Perjanjian Persefahaman bernilai RM144 bilion.

Ketika di negara 1.3 bilion jiwa itu Najib diberi penghormatan tinggi ketika menerima ketibaannya.

Ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA semalam beliau berkata hubungan atas dasar kepercayaan yang sudah lama terjalin menyebabkan China memberi penghormatan sedemikian.

Hubungan dengan China mulai dijalin di bawah kepempinan Tun Abdul Razak ketika negara luar sangsi terhadap negara itu.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata kesediaan dan kejujuran Malaysia menjalin hubungan berkenaan hingga ke hari ini menyebabkannya memberi layanan istimewa kepada Malaysia.

Pertemuan beliau dengan Presiden China, kata Najib mendatangkan banyak manfaat.

“Malaysia sebuah negara kecil tetapi China memberi penghormatan besar kepada Malaysia, kepada Barisan Nasional” katanya.

China kini ialah kuasa ekonomi kedua terbesar dunia dan dijangka akan dapat memintas Amerika Syarikat dalam beberapa tahun lagi.

Lawatan dua hari beliau ke China membawa banyak manfaat meski pembangkang mengkritik beliau.

Katanya, apa bezanya pelaburan yang datang daripada China, Jepun atau Amerika Syarikat.

Menurut Najib, Malaysia sebenarnya meneruskan dasar ‘Pandang ke Timur’ yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad .

“Perbezaannya saya tambah lagi sebuah negara, China kerana ia akan menjadi ekonomi terbesar di dunia, ” katanya. – Sarawakvoice