Friday, August 12, 2022

Brunei tidak ingin kempunan, Laos mengintai peluang

Secara Rawak

Laos akan menurunkan baki pemain simpanannya malam ini bagi meraih pengalaman beraksi dalam Piala Solidariti AFC di Kuching.

Ketua jurulatihnya, Valakone Phomphakdy berkata, peluang sebegini sukar diperolehi dan tidak wajar untuk merehatkan mereka, ketika misi sebenar untuk menjulang piala telah terkubur.

laos-brunei-afc01

“Kehadiran mereka dalam pasukan saya bukan sebagai penumpang.

“Bagi saya, setiap pemain yang cergas dan terbaik perlu diturunkan.

“Dan sewajarnya semua kalangan mereka ini diberi peluang untuk beraksi, walau hanya sekali,” katanya lagi.

Laos akan menentang pasukan Brunei Darussalam, yang kempunan ke akhir setelah dikalahkan oleh Macau, dengan penentuan penalti.

Valakone yang sebelum ini kecewa kerana pasukannya turut dinafikan pentas final menerusi penentuan penalti berkata, anak-anak buahnya perlu melupakan episod malang itu.

“Brunei bukanlah lawan yang mudah. Dan kita tidak boleh menganggapnya mudah. Pasukan ini ada kekuatan dari semua segi dan dua pemainnya, Shah Rezan dan Faiq Jefri perlu diawasi ketat,” katanya lagi.

laos-brunei-afc00

Beliau mengharapkan semangat juang yang ditunjukkan ketika bertemu Nepal diteruskan pada aksi malam ini.

“Saya tuntut mereka berjuang sehingga ke wisel penamat,” jelasnya yang khuatir akan kekuatan mentaliti para pemain.

Sementara itu Ketua Jurulatih Brunei Darussalam, Kwon Oh Son berharap para pemainnya turut mengulangi kecemerlangan dan ketahanan ketika menentang Macau dalam separuh akhir.

“Laos adalah pasukan yang kuat dan seimbang. Namun kami cuba mengimbangi kekuatan mereka.

“Dengan rehat sekitar 36 jam selepas aksi separuh akhir, kami perlu memberi perhatian kepada para pemain yang cergas dan bebas daripada kecederaan,” katanya.

Brunei akan bertemu Laos di Stadium Sarawak pada jam 7.30 malam ini dalam penentuan tempat ketiga. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru