KUCHING: “Saya tidak akan menganggap beliau sebagai wira. Beliau bersalah kerana melakukan banyak kesilapan dan melepaskan gol kedua Laos!”
Itu penilaian Ketua Jurulatih Nepal, Koji Gyotoku terhadap penjaga gawangnya, Kiran Kumar Limbu biarpun Limbu berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti dalam aksi separuh akhir Piala Solidariti AFC 2016 menentang Laos di Stadium Negeri petang tadi.
Kemarahan jurulatih asal Jepun itu bersebab kerana, jika Limbu tidak melakukan kesilapan, mereka sebenarnya tidak perlu berdepan debaran penentuan penalti untuk berada di pentas final.
Dalam perlawanan yang agak menarik dan aksi saling mengasak, kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam 90 minit perlawanan.
Pada minit ke-16, penyerang sensasi Laos, Xaisongkham Champathong tidak mensia-siakan hantaran lintang Bounline Bounpachak apabila tanpa dicabar menanduk masuk gol pertama Laos.
Nepal bagaimanapun bangkit pada babak kedua apabila Bimal Gharti Magar memanfaatkan peluang yang terhidang pada minit ke-47 untuk gol penyamaan.
Aksi di Stadium Negeri Kuching terus menarik selepas itu namun nasib memperlihatkan asakan penyerang kedua-dua pasukan sama ada berjaya diselamatkan pemain pertahanan mahupun terkena palang dan tiang gol, ketika penjaga gawang masing-masing sudah tewas.
Memasuki masa tambahan, kedua-dua pasukan terus buntu, sehinggalah pada minit ke-104, pemain pertahanan Amanta Tamang memanfaatkan hantaran Gurung Heman dengan menanduk bola ke penjuru kiri gawang untuk gol kedua Nepal.
Ketika Nepal bersiap sedia untuk meraikan kemenangan, Champathong sekali lagi menjadi batu penghalang apabila melakukan penyudahan yang baik hasil hantaran Phouthone Innalay pada minit ke-116 untuk penyamaan Laos.
Gol inilah yang disifatkan oleh Gyotuku sebagai kesilapan besar penjaga gawangnya.
Biar apapun tanggapan Gyotuku, Nepal seharusnya berterima kasih kepada Limbu, yang dengan penuh yakin menidakkan sepakan Bouline Bounpachak dan Sitthideth Khantavong dalam penentuan penalti, bagi menunjukkan Laos jalan keluar.
Sepakan penalti ketiga Laos yang diambil Chanthapone Waenvongsoth selepas itu tersasar ke sebelah kanan gawang.
Tiga sepakan penalti Nepal yang menewaskan penjaga gawang Vieng Akhom Vilavong disempurnakan oleh Gurung Heman, Bikram Lama dan Sujal Shreshtha.
Bagaimanapun Gyotoku secara keseluruhannya menyifatkan anak-anak buahnya telah bermain dengan baik dan layak untuk menang kerana semangat berpasukan.