Saturday, October 8, 2022

Piala Solidariti AFC 2016: Brunei dakwa jadi korban pengadilan buruk

Secara Rawak

KUCHING: “Kami tumbang kerana pengadil.” Itu penegasan pengendali Brunei Darussalam, Kwon Oh Son sejurus mereka tewas kepada Macau dalam perebutan tiket ke final Piala Solidariti AFC 2016 di Kuching malam tadi.

Dalam aksi tersebut, Brunei Darussalam dikecewakan menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat satu sama dalam 120 minit masa permainan.

c9235d12-951f-4ef9-b81f-bee954007654

Oh Son yang berasal dari Korea Selatan berkata, tindakan pengadil Kim Woosong, juga dari Korea Selatan melayang kad merah kepada penjaga gawang, Wardun Yussof kerana mengasari Nicholas Mario Tarrao adalah tidak wajar, kerana kedua-dua pemain itu sebenarnya dalam aksi perebutan bola.

“Malah beberapa keputusan beliau selepas itu juga agak keterlaluan dan tidak masuk akal. Beliau benar-benar membunuh perlawanan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tersebut.

Bagaimanapun beliau memuji pemainnya yang bermain dengan cukup cemerlang dalam tempoh lebih satu jam berbaki, selepas insiden minit ke-55 itu biarpun hanya dibarisi 10 pemain.

“Malah mereka bermain dengan begitu bersungguh hingga dapat mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

Berdasarkan perlawanan tersebut, para pemain skuad Tebuan jelas bersedia dari segi taktikal dan mental untuk menghadapi lawan tersebut, apatah lagi untuk bangkit kembali selepas tewas 0-3 di tangan Nepal pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan sebelum itu.

Namun mereka katanya, tidak mampu untuk menduga sebarang keputusan buruk pengadil.

“Keputusan Woosung banyak mempengaruhi keputusan kemenangan Macau pada malam ini (tadi).

Ditanya tentang penampilan sulung anak saudara Sultan Brunei, Faiq Jefry Bolkiah dalam aksi separuh akhir ini, Oh Son mengakui kehadiran beliau banyak mengubah corak permainan Brunei pada malam ini (tadi).

Pemain Leicester City yang baharu tiba dari United Kingdom sehari sebelum itu bermain sepenuh masa dengan cemerlang.

“Beliau seorang pemain yang berbakat dan saya ramalkan beliau boleh muncul sebagai penyerang berbisa dari rantau ini,” jelasnya.

Menjelang pertemuan dengan Laos pada Isnin untuk penentuan tempat ketiga, Oh Son mengakui ia perlawanan yang juga sukar.

“Mereka berjaya mengheret Nepal ke penentuan penalti dan ini memberi isyarat bahawa mereka bukan calang-calang pasukan.

“Dengan tempoh masa sehari setengah sebelum perlawanan, penting untuk kami memberi tumpuan kepada para pemain untuk pulih dari kecederaan dan kembali cergas.

“Itu tumpuan saya sebelum mereka turun beraksi pada perlawanan terakhir itu,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru