Tuesday, June 28, 2022

Negara tidak boleh bergantung kepada pakatan politik hipokrit, tidak ikhlas – Najib

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata masa depan negara tidak boleh bergantung kepada pakatan politik yang hipokrit, tiada keikhlasan dan mengamalkan konsep pusingan U.

fw497998_kl15_131116_pm_mcaSebaliknya, Perdana Menteri berkata rakyat perlu memilih parti politik yang bekerjasama erat dengan semua parti gabungan untuk masa depan rakyat dan negara yang lebih terjamin.

Memberikan contoh Barisan Nasional (BN), Najib yang juga Pengerusi BN berkata parti itu sentiasa membuat keputusan berdasarkan konsensus bersama anggota parti komponen dan mengamalkan prinsip kesederhanaan, tanpa melakukan sesuatu perkara yang ekstrem.

“Tuan-tuan ingat pembangkang ini genuine partnership (perkongsian tulen) ke? Adakah anda fikir Kit Siang (Penasihat DAP Lim Kit Siang) betul-betul sukakan Mahathir (bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad)? Adakah anda fikir Mahathir benar-benar sukakan Kit Siang?

“Mahathir pernah kata secara terbuka, Kit Siang adalah rasis, anti-Melayu dan anti-Islam, dan Kit Siang pun kata Mahathir diktator dan banyak lagi dia kata. Pada saya ini bukan politik seimbang.

“Mana boleh kita percaya kepada pakatan politik berdasarkan hipokrasi,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-63 di Wisma MCA di sini hari ini.

Perdana Menteri juga berkata politik pusingan U yang diamalkan pakatan pembangkang bukan sahaja mengelirukan rakyat, tetapi turut mengelirukan mereka sendiri.

“Berapa kali politik pusingan U ini saya pun tak tahu. Saya fikir mereka sudah hilang arah sebab sudah banyak kali (buat) pusingan U. Bukan sahaja rakyat keliru. Mereka sendiri (pun) sudah keliru. Tiada arah tujuan,” kata Najib.

Najib turut berkata sebagai Perdana Menteri beliau sentiasa mengingatkan dirinya untuk menjadi perdana menteri kepada seluruh rakyat Malaysia. Bagaimanapun, katanya, beliau memerlukan sokongan daripada rakyat berbilang kaum termasuk masyarakat Cina.

Sehubungan itu, Perdana menteri turut melahirkan penghargaan kepada komuniti Cina yang memberikan sokongan kepada calon BN antaranya pada Pilihan Raya Negeri Sarawak serta Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar. — BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru