KABONG: Pembinaan sebuah dewan serbaguna untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman akan menjadi agenda utama dalam pelan pembangunan pada tahun 2017 dan sebagai hadiah paling bermakna sempena sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan sekolah itu pada tahun 2019 .
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, sebuah dewan amat perlu diwujudkan di sekolah berkenaan memandangkan sekolah tersebut tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk mengendalikan aktiviti sama ada di peringkat sekolah mahupun untuk aktiviti bersama masyarakat setempat.
Menurut Chee, beliau akan meneliti beberapa perkara seperti kos dan juga tapak untuk tujuan tersebut dalam masa terdekat.
Beliau yang hadir bagi merasmikan Majlis Khatamal Quran Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong di sini berharap perancangan itu akan menjadi kenyataan sebelum sambutan ke-100 tahun SK Leman kelak.
Seramai 113 peserta yang terdiri daripada 106 peserta dari SK Abang Leman dan 7 peserta dari SJK Chung Hua Kabong terlibat dengan program khatamal Quran tersebut hari ini.
Jelas Chee, tradisi khatamal Quran sedemikian perlu diteruskan pada masa akan datang sebagai satu budaya murni dalam menjadikan kitab al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan .
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar dilaksanakan Majlis Khatamal Quran Perdana untuk seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong dilaksanakan berpusat di Kabong pada tahun 2017.
Cadangan itu katanya sebagai salah satu daripada pendekatan yang cuba dilaksana bagi mengambleng seluruh tenaga pengurusan majlis sedemikian bagi membuat pembaharuan di daerah tersebut.
“Memandangkan kawasan Kabong melaksanakan program khatam al-Quran beramai-ramai sebagai acara tahunan maka saya mencadangkan agar program sebegini dibuat secara berpusat bagi melakukan sedikit pembaharuan.
“Saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini akan menampung kos pengajurannya. Manakala proses pengendalian program itu nanti kita akan mohon bantuan dan kerjasama semua sekolah yang terlibat.
“Cadangan ini akan dapat dilaksana jika mendapat kerjasama semua pihak dan kita akan berbincang lebih lanjut tentang cadangan ini dalam masa terdekat,” ujarnya.
Chee seterusnya menggesa semua pihak agar terus mempelajari al-Quran dan memahami isi kandungan kitab tersebut dengan sebaik mungkin.
Kata Chee, dalam dunia serba moden dan mencabar ini masyarakat perlu membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian untuk berjaya dunia dan akhirat.
Tambahnya, belajar dan memahami al-Quran tiada tempoh tamat seperti pengajian lain dan ia memerlukan proses pembelajaran yang berterusan.
Hadir sama pada majlis itu ialah, Guru Besar SK Abang Leman, Hajah Roseni Haji Terang, Pengerusi PIBG, Johan Haji Rahman, Wakil Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Mohamad Zulkarnain serta tetamu jemputan khas yang lain. – Sarawakvoice