Wednesday, December 7, 2022

Anak saudara Sultan Brunei hampir batal hajat Macau ke final Piala Solidariti AFC 2016

Secara Rawak

KUCHING: Kehadiran Faiq Jefri Bolkiah, anak saudara Sultan Brunei yang baharu berusia 17 tahun, hampir meranap impian Macau untuk layak ke pentas final Piala Solidariti AFC malam tadi.

Pemain yang kini beraksi untuk Leicester City itu hadir ke Bumi Kenyalang petang Jumaat, setelah terbang terus dari United Kingdom.

Kehadiran ikon bola sepak dan kapten Brunei Darussalam itu begitu memukau, apabila sering menghadirkan gerakan-gerakan berbahaya, serta membuat larian pantas yang mengelirukan lawan.

Namun dek kerana tekanan yang diterima, terutamanya beraksi dengan hanya 10 pemain sepanjang 65 minit permainan berbaki, mereka akhirnya terpaksa menerima bahawa bukan rezeki mereka untuk merangkul gelaran sulung piala ini, biarpun berlangsung di Kepulauan Borneo sendiri.

Lawan Brunei dalam aksi separuh akhir semalam, Macau layak ke perlawanan akhir pada Selasa depan menerusi penentuan sepak penalti 4-3 di Stadium Sarawak.

Macau menang setelah penjaga gawang, Ho Man Fai berjaya menampan tendangan kurang bertenaga Rosmin Mohd Kamis, manakala tendangan terakhir Mohd Maududi Hilmi Kasmi tersasar keluar.

Bagaimanapun wira sebenar pasukan itu ialah penyerang berbisanya, Nicholas Mario Tarrao.

Kemasukan Tarrao, yang baharu kembali ke Kuching awal pagi semalam, setelah pulang ke tanah airnya pada 6 November lalu, untuk beraksi pada babak kedua ternyata mengubah corak permainan Macau.

Brunei sebelum itu tampak garang mendominasi pada 45 minit pertama apabila sering kali merencanakan serangan-serangan berbahaya menerusi Faiq dan Mohammad Shah Razen Said.

Dan hasil serangan bertali arus itu, Razen mencipta gol pertama buat Brunei pada minit ke-26.

Tetapi kemasukan Tarrao seumpama suntikan hipordemik yang mengubah rentak permainan Macau, apabila mereka mula menggandakan asakan.

Diberitakan mengalami kecederaan, Tarrao bagaimanapun jelas menjadi duri dalam daging apabila menjadi punca utama drama kekalahan Brunei.

Bermula dengan insiden tertumbuk kepala dalam aksi perebutan sedikit di luar kotak penalti oleh penjaga gawang Brunei, Wardun Yussof, Wardun kemudian dilayangkan kad merah.

Akibatnya, perancang kreatif Azwan Ali terpaksa dikeluarkan segera bagi memasukkan penjaga gol kedua, Mohammad Tarmizi Johari.

Setelah itu, menerusi sepakan percuma, Leong Ka Hang tidak mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-58.

Bermain dengan 10 orang, Brunei seakan-akan hilang semangat, biarpun tidak mudah mengalah dengan asakan-asakan berbahaya.

Namun kegagalan penyudah yang baik dan faktor keletihan menyebabkan Macau, berjaya mempertahankan jaringan penyamaan tersebut hingga ke hujung permainan.

Bagi Ketua Jurulatih Macau, Tam Iao San, para pemainnya bermain di bawah keupayaan sebenar dan terpaksa bermati-matian menahan asakan Brunei.

“Syukur kepada tuhan, kita dapat menyerap tekanan dan menghalang lawan daripada terus mengasak ke kawasan gawang.

“Yang penting kita menang dan layak ke peringkat seterusnya.”

Kata Tam, meski kelebihan berpihak kepada pasukannya, namun para pemainnya jelas gagal mengambil kesempatan yang terbit.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada kesemua pemain, termasuk pemain Brunei yang bermain dengan cukup berdisiplin dan bersungguh-sungguh,” katanya lagi.

Macau akan bertemu Nepal dalam aksi penentuan juara sulung Piala Solidariti AFC manakala Brunei akan bertemu Laos untuk penentuan tempat ketiga. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru