Abang Johari berinteraksi dengan golongan belia, perjelas langkah kerajaan ubah nasib mereka

0
3

KUCHING: Dalam usaha untuk mendekati golongan belia, kepimpinan negeri Sarawak telah mengadakan sesi berinteraksi dengan golongan terbabit dalam Sesi TownHall sempena Hari Belia di Wisma Sumber Alam, semalam.

Tampil ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang mewakili Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

d40be8e6-2b38-446a-a1a1-e5feb7aa1e1f

Pelbagai isu membabitkan peluang pekerjaan, langkah menggalakkan belia menyertai perniagaan, kemudahan jalur lebar, perumahan, masa depan Sarawak dan politik dibangkitkan oleh belia dan dijelaskan oleh Abang Johari.

Turun hadir dalam sesi berkenaan ialah Menteri Belia, Sukan dan Silidariti, Datuk Michael Manyin Jawong dan timbalannya, Datuk Abdul Karim Hamzah.

Moderator sesi ialah Profesor Madya Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak.

Abang Johari yang kelihatan begitu selesa dan ceria berinteraksi dengan golongan belia dari pelbagai latar belakang, termasuk pelajar dan aktivis belia, menjelaskan masa depan Sarawak begitu cerah.

Untuk itu, beliau menasihati golongan muda supaya melengkapkan diri dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran, dan sikap yang betul.

Katanya, dengan kekayaan sumber Sarawak dan keharmonian hubungan etnik, masa depan dan peluang pekerjaan adalah terjamin untuk anak muda. Abang Johari banyak mengkongsikan anekdot dengan belia, termasuk bagaimana ketika kunjungan ke Taiwan baru-baru ini beliau bersua dengan seorang anak muda dari Sibu yang mencipta pemacu pena (pen drive).

Ketika di Kong pula, beliau memberitahu bagaimana ikan empurau yang diternak seorang penternak dari Asajaya dijual dengan harga RM12,000 sekilo.  Ikan berkenaan semakin mendapat tempat di restoran di Hong Kong.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Satok turut berkata, lebih banyak pasar malam berkonsep Uptown di lokasi strategik di bandar raya ini untuk memberi peluang perniagaan kepada belia akan dibuka di Kuching, sebagai menjawab soalan seorang belia.

Pasar malam sedemikian, kata Abang Johari semakin mendapat tempat di hati warga kota.

“Sekarang kami bercadang membuka lebih banyak pasar malam berkonsep demikian, tetapi ia hendaklah dipastikan diurus dengan baik,” katanya.

“Apabila belia sudah mahir berniaga secara kecil-kecilan, diharap mereka akan dapat melangkah lebih jauh, membuka kedai perniagaan, malah ke peringkat antarabangsa melalui perniagaan atas talian,” ujarnya.

Untuk itu, beliau, memetik pengalaman taikun perniagaan atas talian,Jack Ma.

Beliau memetik kata-kata ahli perniagaan itu: “Apabila anda berusia 25 tahun, anda tumpukan kepada pelajaran. Antara 30 hingga 40 tahun, anda bekerja untuk belajar dan memperoleh pengalaman, tetapi daripada majikan yang bersedia untuk membimbing anda.

“Dari usia 40 hingga 50 tahun, anda perlu berdikari dan tentukan apa yang hendak dilakukan, dan inilah tempohnya yang menentukan anda berjaya atau tidak. Antara 50 hingga 60 tahun, anda biarkan orang muda tentukan masa depan syarikat atau negara, dan itulah ketika anda berundur, pencen dan nikmati kehidupan dan rehat.”

Berkaitan kemudahan internet, beliau berkata, kerajaan negeri telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meningkatkan kelajuan internet sehingga 30 megabit sesaat yang bakal memberi manfaat kepada rakyat, termasuk di luar bandar. – Sarawakvoice