Friday, August 19, 2022

Tok Nan hanya demam, doktor nasihat berehat dan jangan hadiri majlis

Secara Rawak

KUCHING: Kegagalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hadir dalam beberapa acara dalam tempoh dua hari ini mencetuskan kegelisahan rakyat mengenai kondisi kesihatannya.

adenan-demam-shjAdenan dijadualkan hadir dalam beberapa acara penting termasuk Majlis Upacara Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Samarahan di Kota Samarahan semalam dan hari ini sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2016 yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Kompleks Sukan Negeri Sarawak di sini pagi ini.

Namun beliau tidak dapat menghadirkan diri dalam kedua-dua acara tersebut.

Dalam ucapan alu-aluannya sebentar tadi, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menasihatkan orang ramai agar tidak khuatir kerana Adenan sebenarnya hanya demam.

“Mungkin kerana terlalu banyak aktiviti yang disertainya dalam keadaan cuaca yang agak tidak menentu sekarang.

“Sehubungan itu, beliau telah dinasihatkan oleh doktor peribadinya agar berehat dan tidak menghadiri beberapa jemputan.”

Khidmat dan aksi Adenan sebenarnya amat ditagih pada Sidang Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan pada 21 hingga 30 November ini.

Ini kerana beliau akan membentangkan Bajet Negeri 2017 selain pembentangan usul mengenai tuntutan Sarawak untuk mengembalikan taraf “wilayah” seperti mana pada tahun 1963, serta menuntut agar semua hak Sarawak seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan Malaysia dan Laporan Suruhanjaya Cobbold dikembalikan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru