Monday, November 28, 2022

S’wak pelawa Felcra majukan NCR khususnya di Song, Kapit

Secara Rawak

KUCHING: Kebolehan dan kecekapan Felcra Berhad memproses, mengeluar dan seterusnya memasarkan produk peserta yang mengikuti projek di bawah skim pengurusannya, menjadikan agensi itu dipercayai selama bertapak 50 tahun di negara ini.

Justeru, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Sambutan 50 Tahun Felcra Berhad Peringkat Wilayah Sarawak pada Jumaat mengalu-alukan usaha Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) untuk memajukan Tanah Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.

Uggah menggesa agar Felcra Berhad berbincang dengan Kerajaan Negeri dalam langkah memajukan tanah NCR yang terbiar.

“Tanah NCR di kawasan Song dan Kapit masih luas, tetapi terbiar begitu sahaja tanpa dibangunkan dengan sebarang tanaman.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar menambah, “saya amat mengalu-alukan usaha Felcra Berhad yang berminat memajukan tanah NCR di kawasan terbabit.”

Uggah percaya usaha memajukan tanah NCR oleh Felcra membantu meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan luar bandar.

Mengikut Uggah, penduduk luar bandar tiada masalah sekadar mengusahakan kebun kecil seperti menanam rambutan atau menternak ayam.

Namun, bagi pertanian berskala besar dan mengusahakan projek yang mendatangkan pulangan ekonomi yang lumayan tidak dapat diuruskan, kerana penduduk tiada pengalaman dalam memasarkan produk terbabit ke pasaran luar.

Sementara, Pengerusi Felcra Berhad, Dato’ Sri Bung Moktar Radin dalam ucapannya berkata,

Felcra setakat ini berjaya membangunkan 55 hektar tanah di Sarawak dengan tanaman kelapa sawit.

Bung Moktar percaya sudah tiba masanya bagi penduduk negeri ini memasuki industri pertanian moden demi menyumbang peningkatan ekonomi negara.

Bagi beliau Sarawak berpotensi menjadi gedung pengeluar makanan halal pada masa depan.

Pada sambutan majlis sambutan tersebut, peserta Felcra Berhad, Sili Bunsi dari Asajaya dianugerahkan Tokoh Felcra Terbilang 2016, mendapat wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru