Sunday, September 25, 2022

Petronas tunai janji lagi, buka pintu kepada Sarawak menjadi pemain industri minyak dan gas – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Petronas semalam menunaikan satu lagi janjinya kepada Kerajaan Negeri Sarawak apabila memberi lebih peluang kepada anak tempatan untuk menyertai projek di bawah payung syarikat nasional itu.

Terkini, syarikat itu membuka pintu kepada Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS) untuk menjalankan kajian bersama bagi projek pengeluaran metanol yang dicadangkan di Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu.

Petronas diwakili Naib Presiden (Strategi Korporat), Adif Zulkifli, manakala YHBS diwakili Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Husain.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg ketika berucap ringkas mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem pada majlis itu berkata, kepercayaan Petronas ini merupakan langkah yang amat signifikan dalam membuka peluang dan ruang kepada rakyat negeri ini untuk terlibat sama dalam aktiviti hiliran dalam industri minyak dan gas.

“Ini melibatkan latihan kepada pekerja di negeri ini bagi meningkatkan kemahiran mereka selain mendedahkan mereka kepada perdagangan antarabangsa, terutamanya pada era mencabar kini,” katanya.

Menurutnya, atas alasan tersebutlah Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada Petronas, yang turut memberi nilai tambah kepada kekayaan sumber di negeri ini.

“Kejayaan ini pasti akan membantu mengubah landskap ekonomi negeri ini, yang kini sedang kita pelbagaikan,” ujarnya lagi.

Abang Johari menjelaskan, usahasama Petronas dan firma petrokimia berasaskan pengeluaran ammonia dari Korea Selatan, Huchems Fine Chemicals diyakini bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan sumber ekonomi negeri.

Dua dokumen perjanjian kerjasama ditandatangani semalam melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Petronas, Huchems dan YHBS, yang turut disaksikan
Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Huchems, Choi Gyu Sung.

Perjanjian di antara Petronas dan Huchems melibatkan persetujuan selama 20 tahun untuk membekalkan 58 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) gas mentah kepada loji petrokimia yang dibangunkan Huchems di Taman Perindusrian Samalaju, yang kini sedang dalam pembinaan.

Ia merupakan kilang pengeluaran petrokimia berasaskan ammonia yang pertama di Sarawak. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru