Friday, August 12, 2022

Mengapa Trump dipilih rakyat Amerika Syarikat?

Secara Rawak

Ketika ramai pemimpin dunia hingga ke kepemimpinan negeri menjangkakan  Hillary Clinton akan menang dengan selesa  ketika itulah  Donald Trump terus berkempen dengan ligat.

Analisis akhbar dunia lebih cenderung menyatakan Hillary akan  mendapat sokongan luar biasa.  Banyak kajian pendapat daripada pelbagai akhbar di serata dunia merumuskan Hillary hampir pasti memegang jawatan Presiden.

KAJIDATA Research di Malaysia pula berpendapat 86.9 peratus yakin  bahawa Hillary merupakan pilihan terbaik untuk menjadi presiden AS.

Newsweek pula  sudah menyediakan muka depan dan isi kandungan mengenai kemenangan Hillary Clinton. Malah yang lebih dahsyat lagi menurut New York Times, sebanyak 125,00 naskhah  Newsweek telah diedarkan  ‘meraikan kemenangan” Hillary Clinton kemudian ditarik balik pengedarannya dengan serta-merta.

Situasi  ini mengingatkan  kita tentang akhbar Chicago Daily Tribune pada pilihan raya presiden Amerika tahun 1948 yang melaporkan “ Dewey menewaskan Truman” sedangkan hakikatnya Harry Truman menewaskan Thomas Dewey.

Faktor memilih Trump

Apabila Trump mulai membawa kempen “make America great again’ ramai  yang sangsi dengan slogan itu kerana menyangka  Amerika  sudah lama hebat dalam apa-apa aspek termasuk dasar luar, dasar ekonomi dalam dan luar negara dan politik kepartian.

Rupa-rupanya, majoriti rakyat Amerika berasa negara mereka  tidak lagi hebat dari kaca mata mereka. Pelbagai isu  ekonomi dalaman  tidak memuaskan hati. Sebab itu, apabila Trump berjanji memotong pelbagai jenis cukai, mengurangkan segala jenis peraturan, tidak lagi  mengetatkan sektor tenaga, dan berjanji menghapuskan defisit perdagangan dengan meningkatkan eksport dan mengurangkan segala jenis import, maka rakyat Amerika cepat termakan janji ini.

Trump juga berikrar menaikkan tarif perdagangan dengan negara China yang selama ini dilihat lebih menguntungkan negara luar tetapi tidak kepada ekonomi Amerika.  TPPA juga dinilai semula penyertaan Amerika kerana lebih baik fokus untuk menguatkan ekonomi Amerika terlebih dahulu daripada sibuk kepada banyak campur tangan  kepada negara di luar.

Pola Undi Berubah

Suara  rakyat di bahagian Ohio, Florida, dan North Carolina  yang dahulunya penyokong demokrat kini beralih arah menyokong Republik. Golongan ini dikenali sebagai golongan kelas pekerja kulit putih dikatakan sebahagian besar bukan berpendidikan universiti yang terdiri daripada golongan lelaki dan wanita.

Mereka  muak dengan dasar  luar Amerika  selama ini sibuk dengan dunia luar namun melupakan masalah kehidupan mereka  yang sebenar.  Golongan ini juga terdiri daripada kelas pekerja industri rendah  yang berasa negara mereka semakin kurang kek ekonomi mereka.  

Kini mereka berasa mereka dikuasai dan didominasi oleh bukan  warga asal rakyat Amerika. Sebaliknya, kedatangan imigran asing dari pelbagai negara mencemaskan mereka. Apakah negara mereka suatu hari nanti akan dikuasai oleh golongan imigran yang mungkin akan menjadi presiden Amerika?

Berapa lama mereka sanggup melihat dan mengalami situasi ini berterusan tanpa tindakan tegas. Sesiapa pun atau di mana-mana sahaja di serata negara di dunia ini tidak suka pendatang asing tanpa izin yang terus berleluasa. Sentimen ini mempengaruhi pengundi Amerika.

Adakah sentimen ini juga akan mempengaruhi pola pengundi pilihan raya umum di Malaysia? Pendatang asing juga merupakan antara masalah  yang perlu diberikan perhatian di Malaysia.

Sektor industri besar seperti Silicon Valley misalnya banyak rakyat dari luar Amerika yang mendapat status penduduk tetap (PR) bekerja dan memegang jawatan penting. Mereka  dahulunya  merupakan golongan susah yang mendapat peluang pendidikan, cemerlang dan mendapat tawaran kerja termasuk dari Asia.

Situasi ini menimbulkan rasa kurang senang secara terpendam meskipun dari segi dasar dan prinsip hak asasi sentiasa mereka laung-luangkan di media massa dan elektronik.   

Magis Slogan ‘Making America Great Again’

Slogan ini membuat rakyat Amerika bangkit semula untuk membentuk solidariti nasional untuk membangunkan negara dan  meletakkan Amerika di tempat yang wajar khususnya   menjadi tuan di negara tumpah kelahiran mereka sendiri.

Mereka ingin kembali ke zaman kegemilangan mereka bukan sahaja sibuk dengan tugas sebagai Polis Dunia, tetapi menjaga kesejahteraan rakyat seharian yang sentiasa dihimpit isu ekonomi semasa.  

Kalau dahulu mereka berasa sebagai adiwira (hero) bangga dengan hero bangsa seperti Superman, Ironman dan sebagainya. Kini terdapat hero bangsa lain menggugah budaya popular masyarakat mereka dari Ultraman sebagai adiwira unggul Jepun hinggalah Toyota, Sony, Honda dan Sushi yang mula menguasai kebudayaan Amerika.  

Hal ini belum termasuk lagi ‘serangan’ jenama Samsung terhadap  jenama Apple yang menunjukkan terdapat  terdapat negara-negara lain yang dahulu miskin kini menjadi saudagar besar di Amerika Syarikat.  Pelaburan timur tengah yang turut menggalakkan kedatangan masyarakat Islam ke Amerika Syarikat turut merimaskan rakyat Amerika.   

Apa maknanya?

Kelas pekerja kulit putih yang tinggal  di pinggir-pinggir bandar  juga menganggap mereka merupakan golongan yang kurang didengari suara.  Imej Hillary Clinton yang dianggap liberal, sedangkan Trump misalnya dalam wawancara Fox News pada Januari 2016 pernah menyatakan tidak bersetuju  perkahwinan sesama jenis yang dipuja-puja oleh golongan berfikiran liberalis.  Sudah tentu, kemenangan Trump merupakan  suatu berita tidak menggembirakan bagi golongan LBGT.

Bagi golongan rakyat bandar di pinggir-pinggir bandar mereka berasa suara mereka tidak didengari oleh kepemimpinan demokrat yang sibuk dengan urusan luar Amerika Syarikat.  Malah politik keluarga mulai tidak disenangi rakyat Amerika.

Adakah Bill Clinton berasa tidak ada dalam kalangan ratusan juta rakyat Amerika tidak layak menjadi presiden Amerika selain isterinya Hillary? Protes ini rupa-rupanya, secara diam-diam rakyat menolak politik dinasti Bill Clinton dan Hillary yang cuba  mendominasi politik dan pentadbiran tinggi  Amerika.  

Ada juga berpendapat bahawa rakyat Amerika cuba menolak berlakunya sejarah  Hillary bakal dinobatkan sebagai presiden wanita pertama Amerika Syarikat. Namun ini agak paradoks tentang imej Amerika yang dianggap negara  yang memperjuangkan hak dan memberikan tempat dan kedudukan terhadap wanita dan menolak diskriminasi gender.

Pengalaman Korporat

Trump tidak ada ada pengalaman dalam dunia politik. Namun sebagai ahli perniagaan yang syarikatnya pernah  muflis sekurang-kurang empat kali  tetap dipercayai  kerana rakyat Amerika percaya  Trump lebih berpengalaman mengurus pembangunan ekonomi Amerika.

Trump banyak pengalaman  berharga dalam jatuh bangun dalam  urusan perniagaan dan urusan tabdir urus ekonomi. Hillary pula hanya bermodal pengalaman sebagai Setiausaha Negara atau  berperanan Menteri Luar.

Pada masa yang sama, imej Hillary juga menjunam  apabila FBI membuat keputusan untuk menyiasat isu penyalahgunaan e-mel rasmi oleh Hillary. Isu ini sukar ditangani dan kredibiliti Hilary terus terkoyak hingga ke kempen akhir.

Siasatan penggunaan emel peribadi ketika beliau berkhidmat sebagai di Jabatan Negara dianggap amat sensitif kerana dibimbangi  menjejaskan rahsia negara.

Hillary juga dianggap cuai dalam penggunaan e-mel peribadi. Yang lebih  mengejutkan apabila pengarah FBI  mengumumkan siasatan  ini diteruskan.

Hal ini bukan sahaja melumpuhkan kempen Hilary akan tetapi menyebabkan harga pasaran saham menggelegak jatuh.  Hal ini menimbulkan krisis keyakinan  terhadap integriti Hillary sebagai calon Presiden.

Pendedahan Wikileaks menunjukkan seolah-olah  Hillary rapat dengan taikun-taikun atau syarikat-syarikat gergasi. Hal ini dianggap  sebagai moderat yang  banyak berpihak kepada Wall Street dan kepentingan perusahaan yang dikatakan ada kaitan dengan kepentingan mendapatkan nana sumbangan kempen.  Laporan Associated Press seumpama ini menjejaskan kredibiliti Hillary dari kaca mata golongan rakyat Amerika yang konservatif.

Populariti Trump

Trump sudah lama dikenali dalam media massa dan elektronik. Rancangan Apprentice  ditonton ratusan jutaan rakyat  Amerika yang terdiri daripada pelbagai kelas masyarakat  sejak tahun  2004 lagi sedangkan Hillary tidak ada  ruang sedemikian kecuali dilantik sebagai jawatan rasmi sebagai setiausaha negara sahaja.

Jadi, Trump lebih lama dikenali oleh rakyat biasa di Amerika berbanding Hillary.  Kesemua ini membawa kelebihan kepada Donald Trump  yang bakal menjadi presiden Amerika Syarikat yang ke-45 pada Januari 2017 tahun depan,  

Apa-apa pun, sikap Trump yang selalu berubah-ubah, banyak beretorik membuat pelbagai penganalisis media dan politik sukar untuk meramalkan dasar-dasar yang akan dilaksanakan Trump.

Kemenangan Trump ini menambahkan lagi sejarah pelantikan presiden negara-negara di  dunia yang mempunyai pelbagai aneka perwatakan.  Ini akan menambahkan warna-warni politik dunia selain kemunculan Duterte yang banyak mendapat perhatian media dan pemimpin dunia yang lain.  – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru