Friday, August 19, 2022

Lelaki diserang buaya ditemui mati di Batang Oya

Secara Rawak

OYA: Lelaki berusia 60 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika menjala di Batang Oya, dekat sini ditemui mati lemas malam tadi.

diserang-buaya01Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, mayat ditemui penduduk kampung sekitar jam 7.20 malam, tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis sekitar jam 8.15 malam untuk proses bedah siasat.

“Berdasarkan siasatan awal, terdapat kecederaan pada bahu mangsa yang dipercayai bekas gigitan buaya,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mangsa, Sili Ismail, 60 tahun dilaporkan hilang oleh keluarganya semalam apabila gagal pulang ke rumah selepas keluar menjala ikan sekitar jam 8 pagi tadi.

Sejurus dilaporkan hilang, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Mukah sambil dibantu oleh pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.

Hasilnya, menerusi pencarian radius dua kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian, pasukan SAR menemui bot milik mangsa yang tersadai di tebing sungai, dengan kesan gigitan buaya yang mematahkan pendayungnya.

“Malah ketika proses pencarian dilakukan, pasukan penyelamat turut melihat kemunculan reptilia tersebut sebanyak dua kali.

Ia kejadian yang kedua dalam tempoh dua tahun di sungai tersebut.

Pada Februari 2015, seorang warga emas maut sambil sebelah kakinya hilang setelah disambar reptilia tersebut ketika sedang menjala udang. – Sarawakvoice

diserang-buaya00

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru