Saturday, October 8, 2022

Festival Tebingan Kuching bermula hari ini

Secara Rawak

KUCHING: Festival Tebingan Kuching 2016 bermula jari secara 10 hari dijangka dapat menarik ramai pelancong dan menjadi produk pelancongan yang dinanti-nantikan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kekayaan budaya dan keharmonian penduduk Sarawak menjadi tema utama yang cuba diangkat menerusi festival ini, yang turut diserikan dengan acara kemuncaknya, Regatta Sarawak.

“Regatta merupakan nadi utama festival ini dan menjadi medium untuk menyatukan rakyat berbilang kaum di negeri ini untuk sama-sama menjayakan acara unik ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan terakhir ke lokasi penganjuran semalam.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, beliau telah berjumpa dengan beberapa pengayuh dan mereka berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana komited menganjurkan acara tradisi ini, selain mewujudkan semula perlumbaan perahu naga.

Turut diadakan sepanjang tempoh festival ialah pameran dan jualan kraf tangan serta makanan di sepanjang lebuh Main Bazaar.

“Aktiviti ini merupakan nilai tambah yang akan memberi peluang kepada masyarakat untuk berniaga dan menambah pendapatan mereka.

Pada tahun ini kataya lagi, turut dilangsungkan Festival Muzik selama sebulan, bertempat di bangunan Mahkamah Lama (Old Court House), bermula pada 17 November ini.

Berdasarkan jadual festival, Sungai Sarawak akan mula berkocak dengan aksi lumba perahu naga bermula 11 hingga 13 November sebelum kemuncak pertandingan Regatta Sarawak dilangsungkan bermula 18 hingga 20 November.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dijangka merasmikan festival ini pada 19 November manakala majlis penutupannya disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 20 November.

Abang Johari turut meluangkan masa merasmikan semula restoran berbeku terapung pertama di Sungai Sarawak di atas kapal layar “Sayang Sarawak”.

“Restoran terapung ini akan beroperasi di Tebingan Kuching bagi sajian antarabangsa dan tempatan dengan kapasiti sehingga 50 orang setiap hari kecuali hari Isnin,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru