Monday, November 28, 2022

Diisytihar jadi majlis perbandaran, Kota Samarahan berpotensi jadi bandar raya

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Pembangunan pesat yang dijalankan oleh pihak swasta seperti merancakkan pembinaan kawasan perumahan, rumah kedai, pejabat, pusat beli-belah serta pasar raya besar menyumbang kepada perubahan drastik landskap ekonomi serta pembangunan di kawasan Kota Samarahan.

Kota Samarahan juga dikenali sebagai kota ilmu dengan wujudnya beberapa pusat pengajian tinggi serta institusi latihan seperti Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM), Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak, INTAN dan Institut Latihan Perindustrian.

Di Kota Samarahan berdiri bangunan kerajaan seperti Salcra, Mahkamah Bumiputera, Majlis Adat Istiadat, Felcra, Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak, kem tentera darat dan udara serta banyak lagi.

Hal ini mempercepat potensi Kota Samarahan menjadi sebuah bandar raya apabila ia mampu menarik minat penglibatan banyak pelabur merancakkan lagi ekonomi seterusnya melonjakkan pertambahan penduduk.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengakui Kota Samarahan yang dahulunya kawasan terpencil kini berubah wajah menjadi bandar.

“Tidak hairan jika Kota Samarahan bakal menjadi sebuah bandar raya di negeri ini pada masa akan datang,” katanya.

Melalui teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing pada Upacara Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di pekarangan Dewan Suarah Kota Samarahan pada Jumaat, Adenan berkata, kerajaan mengambil keputusan menaik taraf Majlis Daerah Samarahan kepada MPKS bagi membolehkan pentadbiran lebih meluas dapat dijalankan di kawasan berkenaan.

Taraf Majlis juga membolehkan MPKS menyumbang lebih banyak manfaat kepada kawasan Samarahan melalui penambahan jumlah kakitangan yang dapat berkhidmat dengan lebih efektif.

Melalui penambahan dana sebagai sebuah Majlis daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, MPKS mendapat lebih banyak dana untuk membangunkan Kota Samarahan lebih rancak.

Adenan berjanji, kerajaan sentiasa menyokong segala usaha MPKS dalam merancang strategi bagi membawa pembaharuan dalam pentadbiran, pengawasan serta usaha menjadikan Samarahan bandar selamat, bersih dan harmoni.

Kerajaan mahu rakyat negeri ini hidup aman damai, sihat dan bersatu padu serta saling bekerjasama termasuk dengan pihak kerajaan.

Dalam pada itu, Menteri Kerajaan Tempatan Prof Datuk Dr Sim Kui Hian pada majlis yang sama mengalu-alukan pengisytiharan MPKS.

Beliau mahu melihat Kota Samarahan membangun menjadi bandar sihat lebih-lebih lagi terdapatnya pelbagai kemudahan kesihatan termasuk pusat penyelidikan dan institusi pengajian tinggi di situ.

Bagi Dr Sim, Kota Samarahan merupakan tempat untuk kita belajar sesuatu yang baharu.

Tambah beliau, “tempat ini saya panggil kawasan lautan biru ekonomi kerana ia merupakan hub pendidikan tinggi dan merupakan bandar universiti… serta merupakan kawasan kegiatan ekonomi universiti.”

Sehubungan itu, Dr Sim mahu MPKS mentransformasikan Kota Samarahan menjadi sebuah kawasan yang sihat didiami penghuninya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru