Apabila Trump bersin, Malaysia terkena selesema

Mata wang negara serantau merudum semalam ekoran kerisauan aliran keluar modal berikutan jangkaan kadar faedah lebih tinggi selepas kemenangan mengejut calon bukan pilihan, Donald Trump.

Harga minyak dijangka terus turun ekoran dasar Trump mahu membatalkan kawal selia industri petroleum di Amerika Syarikat (AS).

Nilai ringgit turut terjejas teruk pada sebelah pagi sebelum pulih sedikit pada sebelah petang.

Paras terendah dalam tempoh 14 bulan mencecah 4.4812 berbanding dolar Amerika.

Namun, Bank Negara Malaysia (BNM) semalam menegaskan tidak akan menambat nilai ringgit meskipun ia susut mendadak sepanjang urus niaga semalam.

Secara keseluruhannya, ringgit susut tiga peratus berbanding dolar AS pada suku ketiga lalu berbanding euro (3.9 peratus) dan yen (-4.2 peratus).

Namun, kejatuhan ringgit semalam mendatangkan keuntungan kepada pelabur runcit mata wang yang membeli unit tempatan berkenaan mengguna dolar AS,

Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim, sebaliknya berkata, bank pusat itu akan terus membenarkan faktor pasaran menentukan paras semasa mata wang tempatan.

Ini ialah kesan langsung daripada sentimen pasaran ekoran dasar antiperdagangan, lonjakan bon perbendaharaan 10 tahun AS, serta jangkaan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah menjelang bulan depan.

Dasar properniagaan dan fiskal Trump  dijangka membawa kepada inflasi dan kadar faedah yang lebih tinggi.

Bagi membuktikan bahawa Trump tidak disenangi sehingga perpecahan berlaku di negara itu ekoran kekalahan Hillary Clinton, berlaku tunjuk perasaan di seluruh negara Uncle Sam itu. Sebagaimana sebahagian warga United Kingdom kecewa dengan keputusan Brexit, begitulah juga dengan sebahagian rakyat AS yang sama sekali tidak mejangka Trump menang.

Kita bakal menyaksikan tindak balas pelampau kulit putih terhadap umat Islam, kaum minoriti dan kulit hitam di negara itu.

Bagaimana pula dasar AS di bawah ahli perniagaan itu terhadap Laut China Selatan? Adakah beliau mengambil pendekatan berbeza daripada Barack Obama?

Apa pula kesannya terhadap Malaysia? Adakah negara ini akan lebih condong kepada China atau AS bagi memastikan kedudukannya selamat dari segi ketenteraan, keselamatan dan ekonomi?

Meski tidak pernah menzahirkan pendiriannya berkaitan hal berkenaan, Trump tidak boleh mengambil tindakan drastik.

Amerika tidak boleh mengambil dasar pemulauan dan dasar yang boleh terlalu menyinggung perasaan negara lain.

Dari segi perdagangan, Malaysia tentu mahu kedua-duanya. Bagaimana pula dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)? Adakah Trump akan membatalkannya atau tidak meneruskannya?

Tentu ini akan merugikan Malaysia yang telah banyak berkorban dari segi masa, tenaga, sumber dan wang. Malaysia akan kehilangan akses untuk menjalin perdagangan dengan Kanada dan Mexico.

Jika itu berlaku, para pedagang kita perlu mencari rakan dagang lain, agar tidak terlalu bergantung kepada AS dan China.

Sebagai negara kuasa besar dari segi politik, ketenteraan dan ekonomi, apa saja dasar baharu yang diambil pasti memberi kesan kepada negara dunia, termasuk Malaysia.

Hakikatnya, apabila Amerika bersin, kita akan terkena selesema. – Sarawakvoice