Sains pemain ICT paling cemerlang di M’sia, banggakan S’wak

0
3

KUCHING: Sarawak Information Systems Sdn Bhd (Sains) cemerlang meletakkan dirinya sebagai alternatif serta pembekal perkhidmatan ICT paling dikagumi di Malaysia.

Bahkan, Sains berjaya menggalakkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Kerajaan Negeri daripada antara yang terendah kepada antara yang paling tinggi di Malaysia.

sains-douglas-uggah03

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem melalui teks ucapannya yang dibaca oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-25 Sains pada Khamis berkata, beliau berbangga dengan pencapaian Sains yang mampu menyediakan penyelesaian berkualiti berkelas dunia.

Adenan melalui teksnya turut mengalu-alukan kehadiran beberapa tetamu luar negara ke majlis tersebut.

Merujuk kepada kerjasama Sains dengan Qatar, Filipina, Papua New Guinea, Brunei dan beberapa negara asing lain, Adenan merakamkan ucapan penghargaannya, “terima kasih kerana memilih untuk menjalankan perniagaan ICT dengan Sarawak dan dengan antara pemain ICT paling cemerlang di Malaysia.”

Selain itu, dalam meneroka ke masa depan, Sains melantik perunding bebas menjalankan kajian strategik untuk korporat dan model perniagaan, hala tuju serta daya saing bagi setiap 10 tahun sekali.

sains-douglas-uggah01

Adenan turut berminat mengikuti perkembangan Sains secara dekat dan yakin Sains dengan fikiran terbuka akan menganjak ke satu tahap lagi pada masa akan datang.

Pengerusi Sains, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata menyeru agar Sains sentiasa menjaga hubungan baik dengan pelanggan di dalam dan luar negara demi memastikan Sains menjadi pilihan utama dalam perniagaan ICT.

“Saya yakin, Sains dapat membuat yang terbaik dalam apa jua yang dilakukannya asalkan tahu batasnya sebagai pasukan dan untuk pelanggan,” kata Chan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sains, Dato Teo Tien Hiong berkata, Sains menjadi syarikat unggul di Asia Tenggara yang dua kali memenangi dua anugerah antarabangsa.

Sains menghasilkan lebih 300 penyelesaian perisian bagi tempoh 25 tahun penubuhan syarikat. – Sarawakvoice