Thursday, December 8, 2022

Masih ramai anak berkeperluan khas belum didaftar ikuti PPKI

Secara Rawak

KUCHING: Ibu bapa di luar bandar khususnya, digalak mendaftar anak berkeperluan khas mereka mendapatkan pendidikan khas sama ada pada tahap prasekolah, sekolah rendah atau sekolah menengah.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri, Vendery Milah Nata berkata masih ramai anak berkeperluan khas tidak berdaftar dan tidak mengikuti pendidikan khas ini.

“Cabaran yang kita hadapi memastikan semua kanak-kanak berkeperluan khas mendapat pendidikan,” kata Vendery pada majlis penyerahan sumbangan alat bantu mengajar dan radas pembelajaran untuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) pada Khamis.

Bercakap sempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat Hitachi Global Storage Technologies (HGST) Malaysia Sdn Bhd @ Western Digital Brand di Sekolah Kebangsaan (SK) Semenggok, Vendery berkata ibu bapa perlu tahu tanggungjawab mereka terhadap anak berkeperluan khas yang memerlukan kaedah pembelajaran yang khusus.

Terdapat 115 daripada 1,263 sekolah rendah di Sarawak menawarkan kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara terdapat 49 daripada 189 sekolah menengah menawarkan program tersebut.

Murid yang menghadapi masalah pembelajaran, pendengaran dan penglihatan dikategorikan sebagai MBK.

Setakat 31 Oktober tahu ini, terdapat 80 kanak-kanak prasekolah, 2,551 murid sekolah rendah dan 1,493 pelajar sekolah menengah mengikuti PPKI.

Pengarah Operasi Pengeluaran HGST Malaysia Ricky Ramsis Sarbandi yang turut menghadiri majlis tersebut berkata,sumbangan pihak beliau merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat dengan kerjasama Yayasan Western Digital Malaysia.

Beliau menambah untuk program yang akan datang, HGST merancang bekerjasama dengan Yayasan Western Digital, Jabatan Pendidikan Sarawak dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjalankan program sekolah angkat ke atas beberapa sekolah di luar bandar.

Ricky berkata melalui program tersebut, pihaknya sedia membina pustaka dan makmal komputer dilengkapi kemudahan internet. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru