PUTRAJAYA: Presiden Filipina Rodrigo Duterte disambut dalam istiadat sambutan rasmi di sini, petang semalam.

Presiden Filipina ke-16 itu  yang dalam lawatan rasmi ke negara ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dan membincangkan beberapa isu membaitkan kepentingan kedua-dua negara.

Duterte dan delegasi  beliau disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kira-kira 4.30 petang di Dataran Perdana, Putrajaya.

Duterte yang menjadi Presiden pada 30 Jun lalu   kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 103 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Duterte kemudian mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri mengenai perkembangan kerjasama dua hala yang terjalin antara Malaysia dan Filipina.

Dalam mesyuarat berkenaan kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.

Malam tadi,   Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor meraikan Duterte  dalam majlis makan malam di Seri Perdana di sini.

Najib menyambut Duterte sebaik tiba dan kemudian mempersilakan beliau ke Dewan Bankuet tempat majlis itu diadakan.

Tetamu dihiburkan dengan persembahan oleh kanak-kanak daripada Permata Seni. – Sarawakvoice