KUCHING: Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2016 akan diadakan pada 11 – 13 Nov 2016 di Kompleks Sukan Negeri Sarawak.

Menurut maklumat dimuat naik dalam laman portal kementerian terbabit, majlis perasmian akan disempurnakan oleh Ketua Menteri  Tan Sri Adenan Satem pada Sabtu di Stadium Perpaduan Sarawak.

Dijangkakan 1,500 belia akan mengikuti perbarisan tersebut.

Pelbagai  aktiviti akan dijalankan sepanjang program tersebut berlangsung seperti penyampaian Anugerah Ikon Belia, pertandingan dan Persembahan, pertandingan nyanyian, pertandingan Puteri Belia 2016, pertandingan Mr Fitness 2016, persembahan Buskers, perbarisan belia, pameran belia dan kerjaya dan larian belia Sarawak 2016.

Aktiviti lain ialah zumba dan senamrobik, sukan tradisional, perkhemahan belia millennia dan Seminar Belia Sayang Keluarga dan Negara.

Objektif  Hari Belia yang bertemakan “Belia Berwawasan, Negara Ke Hadapan”  adalah untuk mengiktiraf sumbangan golongan belia dan persatuan belia dan mendekatkan para belia dengan kerajaan agar mereka lebih memahami serta melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kerajaan.

Ia juga memberi peluang kepada mereka untuk mengetengahkan kepelbagaian kreativiti serta bakat dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan dan patriotik.

Hari Belia ialah manifestasi semangat kerjasama para belia, pertubuhan belia dari pelbagai peringkat dan sektor di peringkat negeri, bahagian dan daerah.

Menurut sumber berkenaan, para belia terdiri daripada pelajar sekolah, pelajar pengajian tinggi, serta orang ramai yang berusia 15 hingga 40 tahun akan menyemarakkan lagi sambutan berkenaan. – Sarawakvoice