Thursday, December 8, 2022

Ibu bapa gotong-royong bina semula bangunan sementara SK Buda, Razi sumbang RM45 ribu

Secara Rawak

SARIBAS: Tepat lima bulan setelah separuh daripada bangunan Sekolah Kebangsaan Buda, Spaoh dekat sini terhumban ke dalam sungai pada 8 Jun lalu, pada Selasa lalu, satu majlis gotong-royong diadakan oleh ibu bapa bagi mendirikan bangunan sementara untuk anak-anak mereka menimba ilmu.

Kerja-kerja pembinaan bangunan berstruktur kayu itu dilakukan dengan kos bahan binaan berjumlah RM45 ribu disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri N35 Saribas, Razi Sitam.

Razi ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan, bahawa bangunan itu dibina atas inisiatif bersama untuk memastikan anak-anak dapat meneruskan pembelajaran, biarpun dalam keadaan yang sedikit kekurangan.

“Yang penting adalah pendidikan mereka. Kami beriltizam dan bertanggungjawab untuk memastikan mereka dapat menerima pendidikan yang sempurna di sebalik kekurangan yang sedia ada.

Dengan adanya bangunan sementara ini, anak-anak muda ini dapat meneruskan sesi pembelajaran mereka yang akan berakhir pada hujung bulan ini.

Sementara itu, Razi memberitahu, pihaknya optimis bahawa bangunan baharu untuk sekolah itu akan dimulakan pada penghujung tahun ini.

“Saya difahamkan proses perundingan masih lagi berjalan, dan kita berharap tidak akan berlaku kelewatan, dan sekolah baharu itu kelak akan dapat digunakan dalam tempoh yang segera pada tahun hadapan.

Kata Razi, beliau berterima kasih kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem yang begitu jujur, komited dan tegas dalam memastikan pendidikan di luar bandar di negeri sentiasa mendapat perhatian.

“Beliau percaya bahawa pendidikan adalah satu-satunya cara untuk membasmi kemiskinan di luar bandar,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah yang turut bertanggungjawab berhubung portfolio pendidikan berkata, sekolah baharu yang dicadangkan terletak 2.5 km dari sekolah asal, dan kos pembinaannya dianggarkan sebanyak RM3 juta.

Sebahagian daripada struktur bangunan sekolah tersebut terhumban ke dalam sungai pada 8 Jun lalu berikutan hakisan tebing yang menyebabkan tanah runtuh berlaku di kawasan tersebut.

Menurut saksi, kejadian berlaku jam 3 pagi menyebabkan stuktur bangunan dihanyutkan air sungai yang deras.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Arus deras itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja mengorek pasir di Batang Layard an Batang Saribas. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru