Wednesday, August 17, 2022

Tunjuk perasaan anti-Ahok: 5 aktivis mahasiswa ditahan polis, Jokowi tidak akan lindungi Ahok

Secara Rawak

JAKARTA: Lima aktivis Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) yang menyerang petugas polis ketika tunjuk perasaan anti-Ahok pada Jumaat lalu  telah ditangkap.

Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Daerah Metro Jaya, Kombes Awi Setiyono berkata, Setiausaha Pengurus Besar HMI, Ami Jaya Halim dan tiga anggota HMI antara yang ditangkap.

Demonstrasi diterajui Front Pembela Islam, yang menyaksikan sekitar 100,000 orang turun ke jalanan di ibu kota 10 juta jiwa itu menuntut Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama  atau lebih dikenali sebagai Ahok dipenjarakan.

“Mereka menyerang petugas yang sedang menenangkan keadaan,” katanya.

Penunjuk perasaan yang bergerak dari Masjid Istiqal bergerak ke Istana Presiden selepas solat Jumaat.

Keadaan menjadi tegang dengan sebahagian penunjuk perasaan bertindak melempar batu dan mereka menyerang polis dengan tongkat kayu.

Susulan itu pihak polis membalasnya dengan tembakan gas air mata dan semburan air.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo menegaskan beliau tidak akan melindungi Basuki Tjahaja Purnama dan mahu siasatan terhadap Gabenor Jakarta itu dilakukan secara tegas dan terbuka.

“Saya tidak akan melindungi saudara Basuki Tjahaja Purnama kerana sudah masuk pada proses hukum,” katanya seperti dipetik media dalam talian selepas mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Pusat Dakwah Muhammadiyah di Jakarta, semalam.

Basuki yang  lebih dikenali sebagai  Ahok pernah menjadi timbalan Jokowi dari 2012-2014 ketika beliau menjadi Gabenor sebelum dipilih sebagai Presiden Indonesia.

Presiden Republik Indonesia itu yang lebih dikenali sebagai Jokowi berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Negara Tito Karnavian supaya melakukan siasatan secara terbuka agar tidak timbul sebarang prasangka dalam kalangan rakyat.

Katanya siasatan terhadap Basuki, yang lebih dikenali sebagai Ahok, sudah bermula dan semua pihak harus memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus dan tegas, lapor Bernama.

Basuki akan bertanding atas tiket parti PDI-P bagi mempertahan jawatan Gabenor Jakarta pada pilihan raya ketua daerah (Pilkada) Februari tahun depan.

Hampir 7.5  juta warga Jakarta layak mengundi untuk memilih Gabenor dan naibnya pada Pilkada yang dijadulakan berlangsung 20 Feb depan.

Ahok yang tegas dan celopar merupakan calon Cina Kristian yang  dicabar dua calon lain iaitu Anies Baswedan dan Agus Harimurti Yudhoyono dalam perebutan jawatan Gabenor itu.

Ketika kempennya di Pulau Seribu bulan lepas, Ahok dikatakan meminta umat Islam supaya tidak terpedaya dengan pihak menggunakan Surah Al Maidah dalam al-Quran yang mengingatkan umat Islam supaya tidak memilih orang bukan Islam menjadi pemimpin mereka. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru