Friday, December 2, 2022

Tiada lagi individu dibelit kemiskinan di Sarawak pada tahun 2018 – Fatimah

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak mensasarkan tahun 2018 untuk mencapai status “miskin sifar” di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah berkata, usaha itu bukan mustahil sekiranya semua agensi kerajaan di negeri ini bergerak sebagai satu pasukan, saling bekerjasama dan fokus dalam setiap tindakan mereka.

“Kita telah membentangkan Pelan Tindakan Kerja kepada semua Pengerusi Focus Group Bahagian dan Daerah pada mesyuarat yang lepas, dan diharap ia dapat dilaksanakan secara cekap dan efisien,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan Negeri Sarawak Kelima di Bilik Gerakan Negeri, semalam.

Turut hadir Pengarah Pejabat Kemajuan Negeri, Mohd Zaki Mahyuddin.

Fatimah berkata, sehingga 1 November lalu, Sistem Bank Data Nasional (e-Kasih) di negeri Sarawak telah merekodkan sejumlah 113,442 ketua isi rumah, dengan 28, 213 daripadanya tergolong dalam kumpulan “miskin tegar”.

“Seramai 36, 919 pula dikategorikan “miskin” manakala 5,111 pula “mudah miskin”.

“Dalam tempoh tersebut, sejumlah 43,199 ketua isi rumah pula telah terkeluar daripada senarai,sama ada kerana telah berkahwin semula, meninggal dunia, pengesahan lanjut kedudukan mereka oleh Focus Group, gagal dikesan mahupun telah berjaya meningkatkan pendapatan menerusi program-program yang dilaksanakan.

Fatimah menjelaskan, pada masa yang sama pihaknya mensasarkan kesemua peserta e-kasih akan menerima bantuan menjelang akhir tahun ini.

“Kita mensasarkan 53 hari berbaki ini untuk mencapai sifar BTBL atau kalangan yang “Belum Terima Bantuan Langsung” daripada senarai e-kasih diberi apa jua bantuan sewajarnya.

“Kita ada tempoh dua bulan lagi dan saya yakin usaha ini akan tercapai, kerana sehingga 1 November lalu, kelompok malang ini hanya berjumlah 605 orang,” jelasnya.

Menurutnya, adalah mustahil tiada ada satu pun bantuan dapat diberikan kepada kelompok ini, kerana negara ini mempunyai begitu banyak skim bantuan, yang diberikan oleh pelbagai agensi kerajaan, untuk meningkatkan taraf hidup golongan sasar.

Sarawak ketika ini, kata Fatimah lagi mempunyai lebih 56 ribu penerima bantuan kebajikan, dan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, amat prihatin kepada kelompok ini.

Mengulas tentang kejayaan program Akhiri Zaman Miskin atau 1Azam, Adun Dalat itu berkata, Sarawak kini dalam proses untuk memohon tambahan peruntukan daripada Unit Pemandu, Jabatan Perdana Menteri, berikutan kejayaan program-program yang dilaksanakannya.

“Pada Inkusisi Putrajaya pada April lalu, kita telah meminta sejumlah RM40 juta untuk peruntukan 1Azam.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak telah meluluskan RM20 juta dan berjanji akan memberi bakinya sekiranya kita berjaya membelanjakan kesemua peruntukan itu.

Justeru itu katanya, beliau amat gembira apabila laporan pada mesyuarat pada hari ini yang menunjukkan sejumlah 2,319 peserta atau 93 peratus daripada keseluruhan 2,500 peserta 1Azam telah dibantu, setakat 1 November lalu menggunakan dana tersebut.

“Kita telah membelanjakan 97 peratus atau RM19.4 juta, dan ia penyertaan paling ramai berbanding negeri-negeri lain.

“Sehubungan itu, kita kini sedang menulis kepada Perdana Menteri dan Pemandu untuk memohon baki peruntukan yang dijanjikan, bagi kita membantu 2,500 lagi peserta,” jelasnya.

Pada masa yang sama katanya, pihaknya juga berjaya membantu 1,360 peserta untuk meningkatkan pendapatan mereka kepada tambahan sekitar RM300 ke RM500 dalam tempoh tiga bulan.

“Ini adalah kejayaan yang amat kita banggakan dan berharap, dengan adanya peruntukan tambahan ini kelak, lebih ramai peserta 1Azam akan dapat dibantu dan dibebaskan daripada belitan kemiskinan,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru