Friday, August 19, 2022

Pas sedia buka pintu rundingan demi kekuatan pembangkang

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Pas berkata ia mempunyai sikap yang sangat terbuka dan  sentiasa membuka pintu rundingan bagi mewujudkan kekuatan pembangkang dengan menjalinkan kerjasama dengan parti pembangkang lain serta memastikan berlakunya satu lawan satu bagi menentang Barisan Nasional.

Menurut Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin, strategi ‘satu lawan satu’ ada strategi terbaik dalam menewaskan Barisan Nasional.

“Namun begitu, sebagai sebuah parti yang berasaskan Islam dan mempunyai pengalaman yang luas dalam politik dan pilihan raya di negara ini, PAS tidak akan mengadakan kerjasama politik yang tidak menguntungkan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pengalaman Pas bertahaluf siyasi semenjak 1986, telah memperlihatkan satu hasil yang tidak menguntungkan Islam, terutama selepas 2008. PAS berpandangan bahawa tahaluf siyasi yang hendak dilakukan kali ini mestilah dipimpin oleh Islam,” ujarnya.

“Pas telah menyediakan platform kerjasama yang dipimpin oleh Islam melalui blok ketiga, Gagasan Sejahtera yang kini telah disertai oleh Ikatan dan Berjasa. Mana-mana parti politik yang mahu bekerjasama dengan PAS dalam pilihan raya akan datang, pintu kerjasama sentiasa terbuka dengan syarat mereka menerima kerjasama ini dipimpin oleh Islam,” tambahnya.

Katanya, tawaran kerjasama ini juga terbuka kepada parti-parti bukan Islam yang bersedia dipimpin oleh Islam.

“Bekas Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengingatkan bahawa jika Umno menerima Islam, kita bersedia membubarkan PAS,” katanya.

“Inilah prinsip kerjasama yang dipimpin oleh Islam yang menjadikan penerimaan terhadap Islam sebagai syarat kerjasama. Pihak yang menentang Islam atau mengkhianati Islam tidak layak bekerjasama dengan PAS, kecuali mereka berubah sikap untuk menerima Islam sebagai pemimpin dalam kerjasama ini.” jelasnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru