Friday, December 2, 2022

Jaga disiplin dan integriti untuk jadi penjawat berjaya – Stephen Mundaw

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Semua penjawat awam di negara ini perlu mengamalkan dua elemen penting untuk berjaya, iaitu disiplin dan integriti.

Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, dengan asas disiplin yang kukuh, ia akan dapat membina integriti yang kuat seterusnya membantu seseorang pegawai melaksanakan proses pentadbiran organisasi dengan baik dan cemerlang.

“Malah dengan integriti yang tinggi, seseorang individu itu akan berterusan melakarkan kejayaan.

“Elemen inilah yang amat penting terutama kepada kelompok penjawat muda yang akan mencorak pentadbiran negara pada masa akan datang,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan Latihan Modul Ketenteraan, Diploma Pascasiswazah Pentadbiran Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) kepada bakal-bakal Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di sini.

Majlis perasmian latihan tersebut diadakan di Perkampungan Ikhtiar Hidup Kem X-Ray, Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD), Kem Muara Tuang semalam.

Program ini merupakan yang pertama seumpamanya di Kem Muara Tuang dan akan berlangsung selama dua minggu, melibatkan 62 kadet PTD.

Menerusi modul ini, mereka akan menerima latihan berbentuk disiplin, berkawad, menembak serta pembentukan jati diri.

Pada majlis yang sama, Mundaw berharap semua kadet PTD dapat menghayati dan belajar sesuatu semasa mengikuti modul ketenteraan ini.

“Program ini direka dengan serba kepayahan, berbentuk aktiviti medan yang jauh dari keselesaan pejabat,” tegasnya.

Antara objektif program ini termasuklah memberi pengetahuan berkaitan organisasi, peranan dan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menyerapkan pengetahuan berkaitan ketenteraan, strategik, operasi dan taktikal.

Mereka juga didedahkan kepada budaya dan disiplin tentera selain meningkatkan keupayaan mental dan fizikal.

Pada majlis tersebut, Mundaw turut memakaikan ‘pangkat’ kepada dua kadet PTD, yang akan bertindak sebagai ketua kumpulan kompeni masing-masing.

Selepas modul ketenteraan, para kadet tersebut akan menjalani modul kebombaan dan kepolisian selain menjalani latihan praktikal di agensi-agensi kerajaan.

Turut hadir Panglima Briged ke-3 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin, Panglima Briged ke-31 Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Datuk Jamaluddin Jambi dan Timbalan Ketua Kluster Subkluster Pembangunan Modal Insan INTAN Ahmad Jefry Aziz. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru