Wednesday, August 17, 2022

3 golongan  mahu Pas-Umno bersatu

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ada dua gerangan yang benar-benar mahukan Pas-Umno bersatu, kata Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz.

Pertama,  menurut beliau ialah yang mahukan Umno kekal memerintah dan PAS turut berada dalam kerajaan campuran sebagai rakan. Dengannya Umno-BN kekal selamat.

Kedua, katanya,  yang mahukan Pas hancur bersama Umno akibat bersekongkol dengan kerosakan dan kezaliman Umno-BN yang kian ditolak rakyat. Dengannya, mereka akan berjaya membina kerajaan baru tanpa Pas dan perjuangan Islam.

“Saya berkata, Pas terlalu menyedari tipu daya dan makar ini. Pas tidak akan terjebak dengan politik murahan yang terlalu ‘kedarah kuasa’ sebegini. Bahkan Pas akan sentiasa memburu kuasa politik  dengan sejahtera dan berdisiplin tinggi tanpa merosakkan kesatuan umat dan segala kebaikan yang telah sedia tumbuh mekar di bumi Malaysia ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, menurut Nik Abduh, ada gerangan ketiga yang juga benar-benar mahukan PAS dan Umno bersatu, iaitu mereka yang benar-benar mahukan kesatuan umat Islam di atas tali agama, lalu mampu memerintah bersama.

Matlamat Pas, ujarnya ialah menyatukan umat di atas tali agama Islam yang kukuh dan lurus. PAS bukan untuk orang PAS. PAS adalah untuk umat Islam dan seluruh rakyat.

“Kepada yang ikhlas menanti dan mengharap, saya berpesan, bersamalah berjuang. Tiada perjuangan tanpa kesabaran. Tiada kesabaran tanpa kesakitan dan keperitan. Penyakit umat masih banyak. Kejahilan, keakuan, kesempitan fikir, kedegilan, keengganan, kepura-puraan, ketakutan dan kebusukan hati masih memanjang dan menggigit keaslian dan kejatidirian umat,” tambahnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru