Tuesday, June 28, 2022

Sarawak bina bandar ikut standard dunia

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak  akan membangunkan bandar yang menepati standard antarabangsa, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan, Urbanisasi, Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, berkata sejajar dengan itu, kerajaan Sarawak merancang melaksanakan projek pembesaran bandar secara besar-besaran.

Antara projek pembangunan utama yang telah dirancang ialah Darul Hana (projek pembangunan semula kampung Melayu di sepanjang Tebingan Kuching), pembesaran bandar Serian untuk dijadikan ibu pejabat baharu bahagian, pembangunan Kampung Datuk Baharu dan Kampung Nangka Baharu di Sibu serta kawasan Pujut di Miri.



“Kos kumulatif bagi fasa pembangunan perumahan dan infrastruktur untuk projek Darul Hana ialah kira-kira RM230 juta bagi menghubungkan semua tempat bersejarah dan warisan di Bandar Raya Kuching.

“Ini bermakna, sektor pembinaan akan menjadi amat rancak di Sarawak dalam masa lima tahun akan datang,” katanya pada sidang akhbar di sini Isnin selepas upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Urbanisasi Sarawak.

Dalam ucapannya, Abang Johari berkata melalui kerjasama yang ditandatangani hari ini, industri pembinaan secara amnya, dan sektor perumahan secara khusus, akan mendapat manfat besar melalui pelbagai cara.

“Dalam konteks penyediaan kemudahan perumahan di Sarawak, kami di kementerian ini, melalui tiga agensi iaitu Perbadanan Pembangunan Perumahan, Borneo Development Corporation (Sarawak) Sdn Bhd dan Daya Builders Sdn Bhd, komited untuk terus membina rumah berkualiti yang selamat dan kondusif,” katanya.

Beliau berkata pemaju dan kontraktor di Sarawak perlu digalak mengamalkan Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan (QLASSIC) dan Penilaian Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pembinaan (SHASSIC), sejajar dengan empat tonggak strategik Program Transformasi Industri Pembinaan. — BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru