Friday, October 7, 2022

Jual minyak masak, gula tanpa lesen, helah pasar raya di Serian dibongkar KPDNKK

Secara Rawak

SERIAN: Kerana tamak dan hendak untung cepat, sebuah pasar raya di sini sanggup menyimpan barang kawalan tanpa lesen, sebelum menjualnya kepada penduduk negara jiran untuk keuntungan yang lebih.

Bagaimanapun kelicikannya terbongkar semalam apabila sepasukan penguatkuasa Kementeri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sarawak menyerbu premis tersebut, dan melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap aktiviti perniagaannya.

Ketua Penguatkuasaan KPDNKK Negeri, Abdul Hafidz Abdul Rahim berkata, serbuan itu dilakukan setelah pihaknya mendapat maklumat bahawa pasa raya tersebut disyaki menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

“Barang kawalan ini ialah minyak masak dan gula yang memerlukan lesen khas daripada KPDNKK.

“Pasar raya itu dipercayai merupakan tempat pengguna membeli-belah termasuk warga asing dari negara jiran.

“Dan hasil serbuan tersebut, kita mendapati peniaga tersebut telah menyimpan barang kawalan berupa 2515kg gula pasir kasar dan 595kg minyak masak sawit.

Jelasnya, pihaknya mendapat maklumat mengenai operasi pasar raya tersebut daripada pihak penguatkuasa Kastam dan Eksais Diraja, yang ketika ini bertungkus-lumus mengekang pengeluaran minyak masak dan gula dari CIQ Tebedu.

“Berdasarkan maklumat inilah kita dapati bekalan kepada warga asing ini berpunca dari pasar raya ini,” jelasnya.

Kata Hafidz lagi, lanjutan kejayaan ini, pihaknya akan turut menyiasat siapa pemborong yang terlibat dalam membekalkan minyak masak dan gula kepada pasar raya tersebut.

“Hasil operasi hari ini (semalam) telah menghasilkan satu kes yang melibatkan Akta Kawalan Bekalan 1961 di bawah seksyen/peraturan 3(1) peraturan-peraturan kawalan bekalan 1974.

“Seksyen ini menyatakan bahawa adalah menjadi kesalahan dan tiada siapa boleh berniaga dengan cara jualan borong, jualan runcit apa-apa barang berjadual atau mengilang kecuali di bawah suatu lesen yang dikeluarkan di bawah peraturan 4.

Operasi tersebut kata Hafidz, berlangsung selama 5 jam setengah bermula pada jam 1.30 petang melibatkan kekuatan enam anggota penguatkuasa KPDNKK.

“Selain itu, kita juga telah mendapatkan kerjasama pihak PDRM untuk bantuan lojistik.

Pemilik premis ini kata Hafidz, akan didakwa dalam tempoh terdekat.

“Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara 3 tahun atau kedua-dua sekali, manakala kesalahan berikutnya, denda RM3 juta atau 5 tahun penjara atau kedua-dua sekali.

“Jika dakwaan melibatkan syarikat atau badan korporat, denda untuk kesalahan pertama menjangkau RM2 juta manakala kesalahan berikutnya sehingga RM5 juta.

Kata Hadidz lagi, pemeriksaan akan dijalankan secara berterusan di semua peringkat perniagaan baik bandar mahupun luar bandar.

“Ia turut melibatkan pengilang, pengeluar, pembekal, pengedar,pengimport, pasar raya dan kedai runcit bagi memastikan bekalan untuk pengguna di negara ini tidak terjejas.” – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru