Thursday, December 8, 2022

Hanya 358  diterima ke IPG Sarawak, Sabah tahun ini

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, berdasarkan kadar penempatan terkini, guru-guru di kebanyakan sekolah (rendah) kebangsaan sudah mencapai tahap antara 87 hingga 98 peratus.

Keadaan ini, katanya, memberi kesan kepada jumlah pengambilan baharu guru pelatih di Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.        

Mahdzir berkata, hanya sejumlah 1,576 penuntut sahaja diterima masuk ke 27 IPG seluruh negara tahun ini termasuk 113 di Sabah dan 245 di Sarawak.            

“Ini bermakna ada sekolah yang sudah mencapai tahap tepu untuk pencapaian penempatan guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.               

Mahdzir berkata, keadaan itu antara faktor yang membawa kepada cadangan pertukaran beberapa IPG kepada politeknik dan kolej vokasional seperti yang diumumkan dalam Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini.

Berdasar cadangan itu, sembilan daripada 27 kampus IPG akan dioptimumkan penggunaannya dengan empat kampus akan diubahsuai untuk menjadi politeknik, empat lagi sebagai kolej vokasional manakala sebuah lagi sebagai Pusat Latihan Jurulatih Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Mahdzir turut menafikan dakwaan bahawa cadangan itu bertujuan menutup IPG-IPG tersebut.

Katanya, walaupun IPG tersebut akan ditukar, pengajian pendidikan oleh penuntut tetap diteruskan sehingga mahasiswa itu menamatkan pengajian sehingga tahun akhir mereka berada di IPG.  – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru